Home » Terputus hubungan, 500 penduduk di Pensiangan catu makanan
Berita Tempatan Politik

Terputus hubungan, 500 penduduk di Pensiangan catu makanan

Bantuan kepada lapan kampung dibuat menerusi misi bantuan kemanusiaan babit pelbagai agensi.

PETALING JAYA: Kira-kira 500 penduduk dari lapan kampung di Pensiangan, Nabawan putus bekalan makanan selepas jalan menghubungkannya dengan dunia luar terputus akibat kejadian tanah runtuh sejak 5 September lalu.

Tanah runtuh itu menyebabkan lalu keluar masuk ke Kampung Kabu, Kampung Saliliran, Kampung Siatu, Kampung Simohong, Kampung Karampalon, Kampung Babayasing, Kampung Dobolon dan Kampung Sibangali tidak boleh dilalui sama sekali.

Menurut Sinar Harian, penduduk terpaksa bergantung kepada tanaman sedia ada termasuk memakan ubi kayu untuk menggalas perut.

Seorang penduduk Mantoi Angkayang, 61, berkata satu-satunya laluan yang boleh digunakan adalah sungai tetapi keadaan sungai agak bahaya selain perjalanan memakan masa hingga tujuh jam menaiki bot untuk ke Nabawan.

“Jalan putus menyebabkan penduduk tidak dapat keluar membeli bekalan makanan terutama beras dan makanan kering.

“Sejak jalan terputus, penduduk terpaksa catu makanan dan mencari apa yang ada di sekitar kampung untuk bertahan selama beberapa minggu,” katanya ditemui pada misi kemanusiaan membabitkan agensi kerajaan dan NGO.

Sebanyak 11 tan makanan dihantar ke kawasan itu menaiki helikopter dalam dalam misi kemanusiaan dengan kerjasama Jabatan Bomba, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO Force of Love (FOL).

Katanya, penduduk juga sukar mendapatkan makanan dari kebun masing-masing berikutan laluan untuk ke kebun turut tidak boleh dilalui.

“Kebun penduduk jauh, saya sendiri tidak boleh keluar ke kebun untuk memetik hasil,” katanya.

FMT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment