Home » RM101 juta biasiswa untuk pelajar cemerlang Sabah lanjut pelajaran
Berita Tempatan Politik

RM101 juta biasiswa untuk pelajar cemerlang Sabah lanjut pelajaran

Hajiji (tengah, belakang) bersama tetamu kehormat lain dan para penerima anugerah merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM101 juta biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang Sabah yang mahu meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jumlah itu ditingkatkan sebanyak 84 peratus berbanding peruntukan sama pada tahun lepas iaitu RM55 juta.

“Anugerah biasiswa cemerlang kerajaan negeri akan memberi manfaat seramai 4,638 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta mereka yang berada di institusi pengajian tinggi berasal dari Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan anugerah biasiswa kepada 10 pelajar terbaik dalam STPM 2023 di sini, hari ini.

Hajiji berkata, pendidikan adalah salah satu tunjang dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Ini bermaksud pembangunan modal insan sangat penting kerana kita memerlukan jumlah tenaga mahir yang banyak serta berpengetahuan tinggi untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Zainuddin Aman.

Anugerah cemerlang itu disampaikan kepada Arnie Jaliusih, Julizza Jummain, Kelly Ng, Mahazir Mahmod, Nur Hafizah Mansor, Nur Syafienaz Herman, Nurul Azwa Azura, Dayangku Siti Aisyah Pg Ali Mudin, Legendra Harroy dan Shazliana Sahid.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment