Home » Pelaksanaan Garis Panduan Buli, Gangguan Seksual perlu komitmen semua pihak – Pakar
Sudut Pandangan

Pelaksanaan Garis Panduan Buli, Gangguan Seksual perlu komitmen semua pihak – Pakar

Pakar berpendapat keberkesanan garis panduan itu bergantung kepada sejauh mana ia dilaksanakan, selain kerjasama serta komitmen semua pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti setempat. – Gambar Unsplash


KUALA LUMPUR:
Garis Panduan Salah Laku Buli dan Gangguan Seksual yang dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjadi komponen penting dalam mewujudkan ekosistem yang selamat di institusi pendidikan.

Bagaimanapun, pakar berpendapat, keberkesanan garis panduan itu bergantung kepada sejauh mana ia dilaksanakan, selain kerjasama serta komitmen semua pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti setempat.

Pakar Kriminologi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) Universiti Utara Malaysia, Zalmizy Hussin berkata, garis panduan tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, menggalakkan kesedaran mengenai isu buli dan gangguan seksual, serta memberikan panduan kepada pihak berkuasa sekolah tentang cara menguruskan situasi berkaitan.

Justeru, beliau menekankan pentingnya pendekatan holistik dalam mengendalikan kedua-dua isu tersebut, termasuk pendidikan kesedaran, sokongan psikososial kepada mangsa dan pelaku, selain penguatkuasaan undang-undang.

“Penting untuk diingat bahawa garis panduan ini hanya berkesan jika ia dilaksanakan dengan baik dan diikuti dengan ketat.

“Jadi, sementara garis panduan adalah langkah yang penting, ia seharusnya menjadi sebahagian daripada pendekatan yang lebih luas dan komprehensif untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada Bernama.

Pada 22 Sept lepas, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan garis panduan merangkumi pelbagai komponen itu akan diperincikan menerusi surat pekeliling KPM ke semua institusi pendidikan.

Katanya, kedua-dua garis panduan itu sangat penting untuk meneruskan sesi advokasi di semua peringkat, bagi memastikan adanya kesedaran, tanggungjawab dan sikap cakna tentang isu-isu berkaitan, agar ia dapat ditangani secara bersama.

Menurutnya, jawatankuasa yang merangka kedua-dua garis panduan in turut mengambil kira perubahan terkini termasuk mendefinisikan semula maksud buli siber serta cadangan program intervensi dalam pengurusan salah laku buli dan gangguan seksual.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad menyambut baik langkah berkenaan dan berharap garis panduan itu dapat diselaraskan di semua peringkat sebagai satu usaha pencegahan.

“Kita mengharapkan dengan adanya garis panduan ini, pembudayaan dan kepedulian kita kepada isu buli dan gangguan seksual akan lebih sensitif, lebih meningkat.

“Kita harap setiap pihak dapat lihat buli adalah suatu yang buruk dan gangguan seksual ialah satu jenayah yang harus dibanteras dan tidak patut jadi satu gejala yang kita kena hadapi lagi pada masa depan,” katanya.

Anuar berkata, semua pihak juga perlu cakna dan memahami isi kandungan garis panduan itu dengan jelas, supaya sebarang perbuatan dan tingkah laku yang membawa ke arah risiko berlakunya buli dan gangguan seksual dapat dikekang lebih awal.

“Pada saya pencegahan adalah lebih baik daripada kita membenarkan perkara itu berlaku dan mengambil tindakan selepas perkara itu berlaku.

“Garis panduan ini pada saya adalah satu dokumen yang bertujuan untuk mencegah berlakunya gejala buli dan gangguan seksual di sekolah,” tambahnya. – BERNAMA

AWANI