Home » Polis Sabah laksana pelbagai tindakan tangani penempatan setinggan PTI
Berita Tempatan Politik

Polis Sabah laksana pelbagai tindakan tangani penempatan setinggan PTI

Jauteh ditanya mengenai data yang didedahkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) baru-baru ini bahawa Sabah mempunyai 543 penempatan setinggan di seluruh Negeri dan Labuan dengan lebih 140,000 pendatang tanpa izin tinggal di dalamnya, menimbulkan ancaman keselamatan.
Pendatang ekonomi haram ini terdiri daripada lebih 90,000 warga Filipina, 45,000 warga Indonesia dan 5,000 yang lain, termasuk dari Asia Selatan.

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang dan akan melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan penempatan setinggan yang didiami PTI di Sabah dapat ditangani sebaik mungkin, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

“Insya-Allah kita sudah buat beberapa perancangan. Saya sudah arahkan semua (polis) daerah buat perancangan berkaitan isu ini.

“Ada kebenaran apa yang dinyatakan oleh Esscom mengenai kewujudan penempatan setinggan pendatang tanpa izin di seluruh Sabah.Kami sedang memantau penempatan ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian lapan motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson daripada Kerajaan Sabah, yang diserahkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, kepada Polis Kontinjen Sabah di Menara Kinabalu di sini Selasa.

Jauteh ditanya mengenai data yang didedahkan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) baru-baru ini bahawa Sabah mempunyai 543 penempatan setinggan di seluruh Negeri dan Labuan dengan lebih 140,000 pendatang tanpa izin tinggal di dalamnya, menimbulkan ancaman keselamatan.

Pendatang ekonomi haram ini terdiri daripada lebih 90,000 warga Filipina, 45,000 warga Indonesia dan 5,000 yang lain, termasuk dari Asia Selatan.

Lahad Datu mendahului senarai dengan 130 penempatan tersebut, diikuti Beluran dengan 96, Keningau (48), Papar (39), Kota Kinabalu (37), Tuaran (32), Sandakan (30), Penampang (17), Kota Belud ( 14), Semporna (14), Kudat (13), Kinabatangan (12), Tawau (11), Ranau (10), Sipitang (10), Kunak (7), Tenom (7), Labuan (6), Kota Marudu (6) dan Beaufort (4).

Pegawai Risikan Kanan Esscom ASP Nustad Kirino berkata ini tidak termasuk pelbagai perumahan dan tanah persendirian yang disewakan kepada pendatang tanpa izin.

HAJIJI menunggang salah satu motosikal berkuasa tinggi itu sambil diperhatikan Jauteh (kanan) dan Safar. Motosikal itu adalah salah satu daripada lapan motosikal Harley-Davidson bernilai RM1.076 juta yang disumbangkan Kerajaan Negeri kepada Polis Kontinjen Sabah.

Bercakap pada seminar dalam talian “Memahami ancaman keselamatan kepada Sabah dan Sarawak” anjuran Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri, Nustad mengakui bahawa rasuah adalah faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan ancaman keselamatan ini seperti yang dibuktikan dalam perbicaraan ke atas penceroboh Tanduo daripada “Tentera Diraja Sulu” yang kolaboratornya termasuk anggota polis di Lahad Datu.

“Mereka mempunyai rakan usaha sama daripada kalangan pendatang dan penyeludup Filipina di Sabah, khususnya di Pantai Timur.

“Pendatang tanpa izin dan aktiviti penyeludupan adalah ancaman keselamatan utama di Esszone. Secara keseluruhannya, keadaan keselamatan di kawasan Esszone adalah terkawal.

“Kumpulan penyeludupan adalah penyumbang utama kepada unsur-unsur pasukan “Royal Sulu’ dan kumpulan Kidnap-For-Ransom.Perintah berkurung laut telah berjaya mengekang ancaman yang ditimbulkan oleh tentera Diraja Sulu dan kumpulan penculikan rentas sempadan dan mengurangkan aktiviti penyeludupan,” kata Nustad.

Sementara itu, Jauteh berkata motosikal yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri itu akan digunakan oleh Polis Kontinjen Sabah untuk penugasan khas, sambil menambah motosikal itu akan mula digunakan Jumaat ini.

“Kita akan pastikan kesemua lapan motosikal digunakan untuk tugasan maksimum dan motosikal serta tugasan khas akan berjalan lancar,” katanya.

Beliau mengakui Polis Kontinjen Sabah kini mengalami masalah kekurangan motosikal.

“Disebabkan pembangunan pesat di negara dan Sabah, dengan kawasan yang luas dan jalan raya yang semakin banyak, jumlah motosikal polis yang ada setakat ini tidak dapat menampung seratus peratus keperluan, tetapi ia masih boleh digerakkan bagi memastikan kita boleh menangani keadaan trafik di Sabah dan pada masa sama kita masih mampu menggerakkan motosikal untuk tujuan pengiring,” katanya.

 Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong. 

— Larry Ralon