Home » Amerika Syarikat hanya meminta pujian – Aktivis Palestin
Berita Am Berita Luar Negara

Amerika Syarikat hanya meminta pujian – Aktivis Palestin

Apa yang diperlukan oleh rakyat Gaza ketika ini ialah genjatan senjata untuk menghentikan pengeboman kerana jelas Israel tidak menghormati sebarang undang-undang antarabangsa. – Gambar AP

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) melakukan perkara paling minimum yang boleh dilakukan apabila membenarkan laluan dibuka di Rafah dan menyumbang 20 trak bantuan kemanusiaan untuk memasuki Gaza.

Aktivis Palestin, Nadir Al-Nuri berkata, tindakan Presiden Joe Biden itu boleh diibaratkan seperti ‘meminta pujian’ dan hanya menyokong sekutu rapatnya Zionis Israel.

Justeru, Nadir menegaskan, tiada keperluan untuk mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Biden kerana seharusnya tindakan yang lebih agresif diambil terhadap sekutunya Israel.

“Membenarkan laluan dan 20 trak melaluinya sudah pun terlambat kerana sudah 10 hari perang itu berlaku.

“Apa yang diperlukan oleh rakyat Gaza ketika ini ialah genjatan senjata untuk menghentikan pengeboman kerana jelas Israel tidak menghormati sebarang undang-undang antarabangsa.

“Ini dapat dilihat dalam pengeboman di hospital di Gaza, angka korban menunjukkan seramai 500 syahid tetapi angka di lapangan menunjukkan jumlah itu menghampiri 1,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Astro AWANI, pada Khamis.

Nadir berkata, Biden nyata tidak berminat mengambil sebarang tindakan terhadap Israel kerana telah menolak resolusi genjatan senjata semasa persidangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dibawa oleh Brazil dan Rusia.

“Jadi Israel masih lagi berani melakukan kekejaman kerana Biden berada di belakang mereka,” ujarnya.

AWANI