Home » Sabah diramalkan alami pengurangan kadar taburan hujan
Berita Tempatan Politik

Sabah diramalkan alami pengurangan kadar taburan hujan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata walaupun ramalan secara amnya menunjukkan bahawa Sabah akan mengalami cuaca kurang hujan sepanjang MTL 2023/2024.

KOTA KINABALU: Sabah diramalkan akan mengalami keadaan agak berbeza pada tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 kali ini dengan keadaan pengurangan kadar taburan hujan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun ia masih berlaku hujan dan ribut petir di sesetengah kawasan, dijangka jumlah hujan bulanan (mm) bagi Sabah adalah kurang 20 peratus dibawah purata dalam tempoh itu.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah membentangkan laporan rasmi ramalan cuaca dalam tempoh MTL 2023/2024 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 2 bagi tahun 2023 yang berlangsung pada 17 Oktober 2023 yang lalu.
 
“Diramalkan musim MTL 2023/2024 akan bermula pada November 2023 dan akan berterusan sehingga Mac 2024.

“Sebagaimana MTL sebelum ini, sebahagian besar negeri dijangkakan akan menghadapi keadaan cuaca yang lebih lembap dalam tempoh ini yang membawa risiko kejadian banjir,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah di Dewan Kampung Warisan, Darau, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, walaupun ramalan secara amnya menunjukkan bahawa Sabah akan mengalami cuaca kurang hujan sepanjang MTL 2023/2024.

“Agensi-agensi berkaitan termasuk pasukan tindak balas dan aset-aset termasuklah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih perlu berada pada tahap kesiapsagaan yang tinggi.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri Sabah telah dimaklumkan agar turut bersedia dengan risiko gangguan bekalan air dalam masa-masa tertentu sepanjang tempoh itu,” katanya.

Katanya, ia adalah akibat daripada ramalan kekurangan jumlah taburan hujan yang dikhuatiri memberi kesan kepada tahap bekalan air mentah di kawasan empangan dan sungai yang menjadi sumber bekalan untuk loji-loji rawatan air.

Sehubungan itu katanya, adalah disyorkan agar kerajaan negeri Sabah mendapatkan laporan dengan lebih terperinci daripada METMalaysia untuk mengenal pasti kawasan-kawasan tumpuan yang dijangka terkesan besar dengan cuaca kekurangan hujan. 

“Ini penting untuk memastikan pelan awal dapat dirangka untuk menangani risiko isu gangguan bekalan air di kawasan terbabit,” katanya.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment