Home » Kestabilan politik dicapai perlu dikekalkan: Chin
Berita Tempatan Politik

Kestabilan politik dicapai perlu dikekalkan: Chin

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata memandangkan PRN berkenaan sudah tamat, maka rakyat semakin mahukan kestabilan politik dalam negara ini.

KOTA KINABALU: Kestabilan politik yang diinginkan rakyat Malaysia akhirnya tercapai dengan tamatnya enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin berkata, kestabilan yang dikecapi ini akan membolehkan negara membangun ke arah lebih maju.

Katanya, arena politik Malaysia telah mengalami transformasi besar yang dapat dilihat selepas tamatnya pemerintahan Barisan Nasional pada 2018.

“BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) itu kepada Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sejak itu, negara ini mengalami beberapa peralihan kerajaan dan Perdana Menteri. Pada PRU tahun lalu, PH dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membentuk kerajaan.

“Dengan konsep Malaysia Madani, pemerintahan ini dilihat memberikan layanan sama rata kepada semua bangsa dalam negara, tetapi ia bukan senang untuk dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Serentak LDP Bahagian Pantai Barat (Sulaman, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Tanjung Aru, Petagas, Kapayan, Moyog, Pantai Manis dan Klias) di sini, semalam.

Katanya, pada PRN enam negeri baru-baru ini, rakyat dikatakan bimbang bahawa kerajaan PH tergugat dengan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, memandangkan PRN berkenaan sudah tamat, maka rakyat semakin mahukan kestabilan politik dalam negara ini.

Bagaimanapun katanya, perkembangan ‘gelombang hijau’ turut membimbangkan komuniti Cina khususnya di Semenanjung Malaysia.

Chin berkata, UMNO adalah sebuah parti yang kuat, mempunyai pengurusan parti yang baik dan terdapat ramai pemimpin cemerlang.

Bagaimanapun katanya, parti berkenaan hilang sokongan daripada pengundi Melayu apabila BN kalah pada PRU 2018 disebabkan skandal 1MDB.

“Masalah ekonomi dan kewangan dihadapi negara pada hari ini, tidak dinafikan adalah kesan daripada skandal 1MDB.

“Adalah jelas negara kita terjejas akibat isu 1MDB yang masih belum diselesaikan. Kini terdapat pihak dalam UMNO mahu pemimpin yang bertanggungjawab terhadap isu berkenaan diberikan pengampunan diraja.

“Pada PRU dan PRN lepas, lebih 90 peratus pengundi Cina telah memilih DAP, khususnya pengundi di Semenanjung Malaysia, mereka tiada pilihan lain,” katanya.

Katanya, mereka tidak memilih Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) disebabkan bersama dengan PN.

Oleh itu katanya, pengundi Cina tiada pilihan lain kecuali MCA dan GERAKAN bersama-sama satu hati meninggalkan UMNO dan PAS.

Dalam pada itu, Chin juga bimbang dengan perkembangan pihak pelampau di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Dibawah kerajaan perpaduan di Sabah, saya berharap para pemimpin kita tanpa mengira mereka mewakili parti tempatan atau dari Semenanjung Malaysia akan terus bersatu dan lantang bersuara menentang sebarang dasar tidak adil yang dilaksanakan di Sabah oleh kerajaan Persekutuan.

“Pemimpin kita harus mengutamakan kepentingan Sabah dan bekerjasama mencapai tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya hasil royalti petroleum,” katanya.

Chin menyeru agar rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan pimpinan Anwar khususnya rakyat Semenanjung Malaysia bagi memastikan kestabilan politik.

“Berilah beliau masa dan peluang untuk memimpin negara ini dan mendapatkan semula keyakinan pelabur ke Malaysia dengan memastikan kestabilan kerajaan. Ini penting demi pembangunan Malaysia,” katanya.

— Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment