Home » Kos penerbitan meningkat, cabaran industri buku negara
Berita Tempatan Politik

Kos penerbitan meningkat, cabaran industri buku negara

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata masyarakat yang membaca melahirkan golongan yang berilmu pengetahuan, berfikiran kritis dan kreatif serta berpandangan jauh bagi memacu pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan maju.

PENAMPANG: Industri buku negara menghadapi pelbagai cabaran khususnya berkaitan kos penerbitan yang semakin meningkat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peningkatan kos penerbitan buku turut melibatkan kos bahan percetakan, urusan percetakan dan kos sewaan kedai buku.

Katanya, implikasi dari keadaan itu dapat dilihat apabila beberapa kedai buku utama di Malaysia menamatkan operasi.

Justeru beliau berkata, dengan adanya penganjuran Pesta Buku Sabah diharap dapat memberi peluang kepada para penerbit untuk memasarkan dan mempromosikan buku-buku mereka.

Di samping itu jelasnya, ia dapat menerapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. 

“Saya berharap agar Pesta Buku Sabah 2023 dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyemarakkan budaya membaca dan memperkaya minda.

“Kita seharusnya menjadi suri teladan kepada masyarakat dalam memupuk rasa cinta terhadap amalan membaca. 

“Keazaman membaca dalam pola aktiviti harian rakyat Malaysia perlu ditanam dan diamalkan walaupun dihimpit cabaran sosio ekonomi global,” katanya ketika merasmikan Pesta Buku Sabah 2023 di sini kelmarin.

Mohd Arifin berkata, rakyat Malaysia perlu menjadikan membaca sebagai budaya dan ia masih belum terlewat untuk membuktikannya.

Menurutnya, masyarakat yang membaca melahirkan golongan yang berilmu pengetahuan, berfikiran kritis dan kreatif serta berpandangan jauh bagi memacu pembangunan negara ke arah masa depan yang lebih cemerlang dan maju. 

— Siti Aisyah Narudin