Home » Tumpukan usaha perkasa ekonomi: Nicholas
Berita Tempatan Politik

Tumpukan usaha perkasa ekonomi: Nicholas

Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Nicholas Ban (dua dari kiri) berkata , walaupun Malaysia telah mengalami peralihan kerajaan sebanyak beberapa kali, tetapi masih wujud pihak yang memainkan isu agama dan perkauman.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu menumpukan usaha memperkasakan ekonomi dan mencari jalan penyelesaian mengatasi isu sara hidup rakyat.

Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Nicholas Ban berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada memperkasakan mata wang negara dan bukannya memberikan fokus terhadap isu bahasa.

“Kini sudah berada dalam pasca pandemik COVID-19 dan ekonomi harus menjadi keutamaan oleh para penggubal dasar.

“Pastikan rakyat mempunyai pekerjaan yang stabil dan mempunyai sumber makanan mencukupi, inilah isu yang harus diutamakan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
 
Beliau berkata, rakyat yang masih terjejas akibat pandemik COVID-19 kesal kerana kerajaan kini menaikkan kadar cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus kepada lapan peratus pada Belanjawan 2024 baru-baru ini.

Katanya, walaupun Malaysia telah mengalami peralihan kerajaan sebanyak beberapa kali, tetapi masih wujud pihak yang memainkan isu agama dan perkauman.

“Rakyat memberikan mandat kepada pemimpin dalam pilihan raya umum lalu agar mereka boleh membawa perubahan positif.

“Tetapi kini ia dilihat adalah sama seperti pentadbiran dahulu,” katanya.
 
Katanya, beliau menyokong penuh keputusan kerajaan Sarawak yang membenarkan surat rasmi ditulis dalam bahasa Inggeris kepada jabatan kerajaan negeri terbabit.

Menurutnya, bahasa Melayu dan Inggeris adalah bahasa yang digunakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Mahkamah di Sabah juga menggunakan bahasa Inggeris.

“Oleh itu, saya  juga ingin menggesa kerajaan negeri ini agar tidak mengikut keputusan kerajaan Pusat dalam perkara ini.

“Saya percaya kerajaan negeri tidak menumpukan bahasa apa yang digunakan dalam surat rasmi, sebaliknya menumpukan kepada pembangunan Sabah yang selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Katanya, kerajaan harus lebih menumpukan kepada kecekapan dalam sistem perkhidmatan dalam jabatan serta agensi dan bukannya terhadap bahasa apa yang digunakan.

–Yap Siong Han