Home » Kerajaan galak kakitangan awam bersukan untuk kesihatan fizikal, mental – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kerajaan galak kakitangan awam bersukan untuk kesihatan fizikal, mental – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (empat kiri) bersama tetamu kehormat lain hadir pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada perkhidmatan awam Sabah terlibat dalam aktiviti sukan bagi memastikan kualiti kesihatan fizikal serta mental berada ditahap terbaik.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Jabatan Ketua Menteri (JKM) sebagai organisasi utama yang menerajui pentadbiran kerajaan Sabah memerlukan tenaga kerja yang berkualiti di semua peringkat, agar mampu memberi perkhidmatan yang cepat, tepat dan berkesan kepada rakyat.

“Dalam usaha menjayakan agenda Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah MajuJaya(SMJ), kita amat memerlukan penjawat awam yang sihat, cerdas, cekap dan mampu berdaya saing.

“Justeru, saya menggalakkan penjawat awam khususnya warga kerja JKM supaya meluangkan sedikit masa dalam jadual harian untuk bersenam.

“Bukan sahaja untuk cergas malah menghindarkan diri daripada pelbagai penyakit,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Sukan Muhibah JKM Ke-13 Tahun 2023 di sini semalam.

Beliau berkata, sebanyak 10 jenis sukan dipertandingkan dalam kejohanan sukan dwi-tahunan itu yang disertai oleh enam pasukan iaitu Jabatan Ketua Menteri (Perdana), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Tanah dan Ukur, Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah dan Sawit Kinabalu.

Hajiji berkata, Pesta Sukan Muhibah JKM merupakan medan terbaik rekreasi serta menjadi tempat sesi perkongsian idea dan pendapat dalam kalangan kakitangan awam bagi memantapkan lagi organisasi masing-masing. 

Malah katanya, aktiviti sukan juga boleh dijadikan satu elemen penting dalam kehidupan bagi membina peribadi mulia dan membentuk masyarakat yang sihat, disamping mencungkil bakat-bakat dalam kalangan penjawat awam yang boleh dimanfaatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, Pesta Sukan Muhibah JKM yang dimulakan pada tahun 1999 dapat mengeratkan lagi kerjasama, meningkatkan semangat kerja berpasukan dan kesukanan dalam warga kerja JKM, sekali gus menggalakkan dan membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.

Hajiji juga berharap pesta sukan itu dapat mendorong anggota perkhidmatan awam negeri ini memelihara kesihatan fizikal, mental, sosial dan rohani dengan baik, agar dapat memberi khidmat bakti yang lebih cekap dan produktif.

“Secara peribadi saya berpendapat pesta sukan ini merupakan manifestasi permuafakatan yang harmoni antara kakitangan perkhidmatan awam dibawah JKM yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam merealisasikan kehendak dan gagasan Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment