Home » Festival keagamaan boleh dijadikan nilai tambah sektor pelancongan – Nizam
Berita Tempatan Politik

Festival keagamaan boleh dijadikan nilai tambah sektor pelancongan – Nizam

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah, di sini semalam

SEMPORNA: Festival atau program keagamaan boleh dijadikan salah satu nilai tambah yang mampu menarik pelancong datang ke daerah ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daerah ini sudah terkenal dengan sektor pelancongan kerana menerima kemasukan pelawat dari luar negara seperti China, Korea dan negara barat lain.

Katanya, pelancongan agama menerusi penganjuran acara ilmu juga dilihat boleh mengembangkan sektor pelancongan, selain daripada tarikan pulau dan hidupan marin di daerah ini.

“Pelancongan agama ini lebih memfokuskan kedatangan orang ramai untuk melancong demi menimba ilmu agama, sambil menikmati panorama pulau-pulau di Semporna.

“Justeru saya percaya sekiranya pelancongan agama ini dapat direalisasikan, sudah pasti ia menjadi nilai tambah dan mampu menarik pelancong luar selain negara yang sedia ada ke daerah ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah, di sini semalam.

Menurutnya, pihak penganjur juga boleh menjemput tokoh agama terkenal untuk datang memberi ceramah bagi menarik kehadiran orang ramai khususnya yang berdekatan ke daerah ini.

“Namun, pelancongan agama ini perlu disusun atur dengan baik supaya ia lebih sistematik dan mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

Mengulas mengenai majlis ini, Nizam berharap ia dapat dijadikan titik tolak supaya semua masyarakat di daerah ini bersatu padu dan mengeratkan silaturrahim.

Katanya, masyarakat Islam perlu menjadikan peribadi Rasulullah sebagai contoh teladan sehingga dikenali dan disegani bukan sahaja orang Islam, malah agama lain.

“Saya berharap dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa konsep Madani dapat menerapkan nilai murni kepada semua masyarakat di negeri ini.

“Walaupun kita berbeza ideologi serta pandangan politik, tetapi perlunya semua rakyat terus menjaga keharmonian negara dan negeri ini.

“Hal ini kerana, pertelingkahan dan permusuhan dalam kalangan masyarakat hanya akan merugikan serta mampu merosakan perpaduan di negara kita,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Daerah Semporna Alexander Liew dan Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah.

— Hamzah Sanudin