Home » Kerajaan sedia insentif bantu lahirkan belia berdaya saing – Nizam
Berita Tempatan Politik

Kerajaan sedia insentif bantu lahirkan belia berdaya saing – Nizam

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Futsal Rakan Muda, di sini, baru-baru ini.

TAWAU: Kerajaan memainkan peranan penting membentuk belia di negara ini dengan menyediakan banyak insentif supaya mereka terus berdaya saing dan mempunyai masa depan yang cemerlang.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kementerian Belia dan Sukan sudah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk diadabtasi kepada belia menerusi Rakan Muda.

Katanya, inisiatif Rakan Muda yang diberikan nafas baharu memperkenalkan 10 gaya hidup, selaras dengan cita rasa dan minat generasi muda hari ini.

“Inisiatif berkenaan adalah Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

“Ia akan membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada penyertaan generasi belia dalam mana-mana program yang dianjurkan,” katanya.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Futsal Rakan Muda, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, Rakan Muda sememangnya banyak membantu belia di negara ini menjadi insan yang berkualiti dan berdikari sejak dari dulu lagi.

“Justeru, saya berharap supaya semua belia di negara ini merebut peluang yang disediakan kerajaan melalui inisiatif Rakan Muda,” katanya.

Sementara itu, Nizam mengucapkan syabas dan tahniah kepada Rakan Muda Tawau kerana berjaya berkolaboratif dengan Pejabat Belia dan Sukan Tawau menganjurkan kejohanan futsal ini.

Katanya, kejohanan futsal yang membabitkan daerah Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu ini dilihat dapat mengeratkan silaturahim semua peserta yang terlibat.

“Selain itu, ia dapat mencungkil bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

“Hal ini kerana, sukan futsal bukan hanya sekadar hobi, tetapi ia adalah satu kerjaya professional yang mampu memperolehi pendapatan sangat lumayan,” katanya.

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment