Home » Brunei haram tayangan Talbis Iblis
Berita Luar Negara Hiburan

Brunei haram tayangan Talbis Iblis

PETALING JAYA: Brunei mengharamkan tayangan filem seram, Talbis Iblis arahan Khabir Bhatia di negara itu tanpa memperincikan butiran lanjut.

Larangan itu hanya diketahui selepas Times Cineplex Brunei memuat naik makluman dalam Instagram mengenai filem yang tidak disiarkan kerana tidak menepati piawaian penapisan filem di negara itu.

“Maaf semua! Talbis Iblis tidak akan ditayangkan di sini disebabkan tidak lulus penapisan,” tulisnya.

Filem seram tersebut menampilkan Nasha Aziz sebagai Junaidah dan Zul Ariffin (Nasir) sebagai pelakon utama mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara mulai hari ini.

Naskhah tersebut menceritakan ‘permainan syaitan’ yang diangkat menjadi subjek utama yang turut membariskan pelakon lain seperti Azira Shafinaz, Sherie Merlis dan Jay Iswazir.

Bulan lalu, Kabir memaklumkan, filem itu menerima reaksi memberangsangkan ketika ditayangkan sempena Far East Film Festival Ke-24 di Udine, Itali, selain Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.

“Penonton luar terkejut dan tidak menyangka filem ini datang dari Asia Tenggara. Ada yang menyamakan keseraman filem ini dengan produksi Korea, The Wailing dan Inang dari Indonesia,” katanya.

UM