Home » PRU15: SPR perlu pertimbang undi awal atau undi pos kepada mahasiswa – Bung
Berita Tempatan

PRU15: SPR perlu pertimbang undi awal atau undi pos kepada mahasiswa – Bung

Bung juga mahu SPR mempertimbangkan penyelesaian untuk melancarkan proses demokrasi itu dalam kalangan pengundi muda termasuk prosedur pengundian.


KOTA KINABALU:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta mempertimbangkan undi awal atau undi pos kepada mahasiswa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan pelaksanaan Undi18, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, hal ini mendorong pengundi muda untuk menunaikan tanggungjawab termasuk mereka yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.

Malah ujarnya, SPR perlu memudahkan urusan pengundian kerana hak para pengundi muda itu juga tidak boleh dinafikan. 

“Para mahasiswa berkemungkinan berdepan cabaran termasuk kekangan harga tiket penerbangan untuk pulang mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Bung juga mahu SPR mempertimbangkan penyelesaian untuk melancarkan proses demokrasi itu dalam kalangan pengundi muda termasuk prosedur pengundian.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan pengundi muda diberikan ruang dan keselesaan untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih bagi menentukan masa depan negara sekali gus menggalakkan peratusan keluar mengundi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Sabah Datuk Fadilah Sabri berkata, SPR perlu mempertimbangkan cadangan yang disuarakan pelbagai pihak dalam memastikan proses demokrasi itu berjalan lancar serta mencapai maksudnya.

“Ini tanggungjawab SPR untuk memastikan rakyat di negeri ini boleh menjalankan hak mereka keluar mengundi, khususnya mereka yang pertama kali mengundi,” tegasnya.

AWANI