Home » Tumpukan kepada agenda rakyat serta ekonomi – LDP
Berita Tempatan Politik

Tumpukan kepada agenda rakyat serta ekonomi – LDP

Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Shu Ying berkata, rakyat tidak mahu melihat Dewan Rakyat dijadikan 'medan sarkas' dengan kenyataan-kenyataan yang mengarut oleh sesetengah Ahli Parlimen

KOTA KINABALU: Semua Ahli Parlimen negara ini harus menumpukan kepada isu-isu kehidupan serta ekonomi rakyat berbanding hanya berhujah mengenai perkara-perkara tidak berkaitan.

Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Shu Ying berkata, rakyat tidak mahu melihat Dewan Rakyat dijadikan ‘medan sarkas’ dengan kenyataan-kenyataan yang mengarut oleh sesetengah Ahli Parlimen

Katanya, Dewan Rakyat adalah tempat oleh wakil rakyat untuk membincangkan agenda penting dan ekonomi negara.

“Ia bukan tempat untuk Ahli Parlimen untuk bertengkar dan menyebarkan kebencian, tindakan seumpamanya hanya mengganggu sesi Dewan Rakyat dan membazirkan wang pembayar cukai.

“Ahli Parlimen berperanan mewakili kawasan masing-masing untuk membuat dasar dan berkhidmat yang terbaik untuk kepentingan negara. Mereka seharusnya mempunyai nilai moral yang tinggi dan profesional dalam melindungi reputasi negara.

“Tindakan tidak bertanggungjawab hanya akan menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, kejujuran dan integriti adalah kepercayaan asas yang wujud diantara Ahli Parlimen berkenaan dengan para pengundi masing-masing.

Katanya, sebarang kelakuan tidak jujur, tidak berintegriti akan menjatuhkan nilai moral masyarakat sekali gus menjejaskan nilai serta kestabilan negara.

“Semua Ahli Parlimen wajib menghormati identiti setiap rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama di negara ini, elakkan daripada mengeluarkan kenyataan bersifat kebencian dan diskriminasi.

“Hormatilah kepelbagaian dalam negara ini kerana ia akan membawa kepada kemajuan dan inovasi, sekali gus mampu menarik pelabur asing dan peluang perniagaan,” katanya.

Katanya, para pembuat dasar juga tidak seharusnya terpengaruh dengan kepentingan politik atau perniagaan demi melindungi kepentingan para pengundinya.

Chin berkata, Ahli Parlimen harus menunjukkan contoh baik seperti menyertai program komuniti dan amal, memberikan sokongan kepada kumpulan kurang bernasib baik agar mampu menarik lebih ramai orang melakukan kerja-kerja komuniti.

“Ahli Parlimen harus menolak segala perkara negatif termasuk gejala rasuah, ketidakadilan dan banyak lagi.

“Pada masa sama, pengundi juga perlu bertanggungjawab memantau tingkah laku wakil rakyat masing-masing bagi memastikan mereka sentiasa mengekalkan amalan moral yang tinggi dan tidak lari daripada kepentingan awam,” katanya.

— Yap Siong Han