Home » Pertandingan Tarian Singa, Naga tarik minat masyarakat bumiputera menyertainya – Nizam
Berita Tempatan Politik

Pertandingan Tarian Singa, Naga tarik minat masyarakat bumiputera menyertainya – Nizam

KOTA KINABALU: Kepelbagaian masyarakat pelbagai kaum menyertai pertandingan ‘ Tarian Singa dan Naga’ mencerminkan Sabah sebagai contoh kepada konsep Malaysia Madani di negara ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, jika dahululah tarian ini hanya terhad kepada masyarakat Cina namun kini ia sudah menarik minat minat masyarakat pelbagai kaum menyertainya.

Katanya, sebagai contoh di Sabah, kaum Kadazan Dusun, Bajau serta masyarakat lain menyertainya sekali gus ini menunjukkan satu budaya serta warisan perlu dikekalkan di masa depan.

“Kita semua maklum, tarian singa dan naga ini keunikkannya cukup tinggi nilainya. Peredaran masa menyaksikan penyertaan tarian ini tidak terhad kepada kalangan masyarakat Cina.

“Ini jelas menunjukkan tradisi ini merupakan satu kombinasi yang sempurna sebagai langkah mempromosikan kebudayaan negeri Sabah yang begitu unik selaras dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Tarian Singa Tongma kali ke-2 peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Ketika berucap menyentuh pertandingan Tarian Singa dan Naga ini Nizam berkata, penganjuran acara ini bukan hanya mempromosikan Tarian Singa malah kebudayaan masyarakat cina secara tidak langsung dapat ditonjolkan.

“Apa yang penting, ia juga membawa makna besar kepada negeri Sabah untuk menuju ke arah penyatuan semua masyarakat berbilang kaum serta etnik besar di negeri ini.

“Saya begitu gembira kerana terdapat penyertaan luar termasuk pasukan Singa Tung-Fatt Kuching Sarawak sekali gus acara ini sangat dinantikan serta sangat berprestij,” jelas Nizam.

Di majlis tersebut, Nizam mengumumkan menyalurkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 sebagai komitmennya dalam memperkasakan pertandingan ini di masa depan.

— Liza Din