Home » Dukungan menyatu, sokongan bertambah padu
Politik Sudut Pandangan

Dukungan menyatu, sokongan bertambah padu

Kehadiran empat bekas Ketua Menteri Sabah termasuk Tan Sri Musa Aman dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) disifatkan sebagai tanda sokongan mereka terhadap parti yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor

EMPAT sosok figura besar, duduk sebaris paling hadapan. Nama disebut satu persatu, disambut tepukan kuat dan padu. Penampilan mereka kekal seperti dulu. Santai bersahaja.

Sejarah pun tercipta. Ini kali pertama mereka menyatu dalam kebersamaan. Tidak mengejutkan, tapi sungguh luar biasa.

Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menempatkan mantan Ketua Menteri Sabah — Tan Sri Musa Aman, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Tan Sri Osu Sukam — di barisan paling hadapan sebagai tetamu terhormatnya.

Turut hadir di sisi mereka seorang lagi mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, selaku Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), salah satu anggota Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di mana Gagasan Rakyat menjadi tunjang utama.

Antara mantan pemimpin yang turut hadir adalah mantan Ketua Menteri terlama Sabah, Tan Sri Musa Aman (dua dari kanan)


Empat sosok figura ini cukup sinonim dengan pasang-surut politik Sabah yang penuh warna-warni. Nama mereka tetap segar dalam ingatan, biarpun menyepi beberapa waktu mengikut jalan masing-masing. Mereka punya legasi tersendiri. Sesuai pada waktunya.

Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, mengungkapkan bahawa tokoh-tokoh itu diundang sebagai tetamu kehormat adalah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan kepemimpinan mereka.

Perwakilan dan pemerhati memberikan tepukan bergemuruh ketika Hajiji mengalu-alukan kehadiran mereka, pada salutasi awal sebelum menyampaikan ucapan dasar.

Yang jelas, kehadiran elit politik di persidangan sulung itu menambahkan kemeriahan dan makna bagi Gagasan Rakyat dalam mengusung perjuangan politik kepartian.

Mungkin ada seteru politik rasa terusik kerana ia menyatukan kekuatan dalam rekonsiliasi politik.

Pemerhati politik mengakui kehadiran mantan-mantan ketua menteri itu membawa aura positif dalam rangka melestarikan nilai-nilai lama yang baik-baik.

Bagi mereka, Hajiji berjiwa besar kerana memahami metafora dan dimensi politik yang luas wilayah kepartian serta beraneka ragam sifatnya.

Sebab itu, dalam ucapan dasarnya, beliau banyak menyentuh soal metodologi politik serta demokrasi matang dan berimbang sebagai landasan perjuangan Gagasan Rakyat.

Hajiji yang bukan baru muncul di gelanggang politik, turut menceritakan tentang kecurangan politik dan bagaimana untuk mengelola konflik bagi mencari titik penyelesaian.

“Kita telah menyaksikan rentetan kemelut dan krisis dalam sejarah politik Sabah dan Malaysia, khususnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

“Begitu jelas tersurat bahawa kesetiaan kepada idealisme politik adalah bersyarat, tetapi kesetiaan kepada aspirasi rakyat adalah mandatori. 

“Apabila berlaku konflik pertentangan, di antara setiakawan politik dan aspirasi rakyat – tidak ada pilihan alternatif terbaik, selain memihak kepada rakyat.

“Relevan atau tidak sesuatu kepimpinan politik, itu sangat bergantung kepada mandat rakyat. Dalam politik, rakyat itu kuasa dan pemutus segala-galanya!. Inilah nilai dan makna yang menjadi prinsip parti kita,” katanya.

Kesimpulannya, Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat itu melakar sejarah tersendiri. Hajiji bukan saja berjaya menyuntik kefahaman mengenai pola politik kepartian, tetapi juga memahatkan semangat kental jati diri serta merintis jalan perjuangan untuk dilalui bersama. Dukungan menyatu, sokongan bertambah padu!.
 

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment