Home » GTA perlu adakan perbincangan rasmi jika mahu bergabung
Berita Dalam Negara Politik

GTA perlu adakan perbincangan rasmi jika mahu bergabung

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata BERSATU dan PN sentiasa terbuka menuju ke arah perpaduan selain turut sedar bahawa pertembungan pelbagai penjuru adalah cabaran yang besar bagi semua parti.

JITRA – Gerakan Tanah Air (GTA) perlu mengadakan perbincangan secara rasmi dengan segera jika benar mahu bergabung dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana tempoh untuk menghadapi PRU15 sudah sampai ke saat-saat akhir.

Katanya, BERSATU dan PN sentiasa terbuka menuju ke arah perpaduan selain turut sedar bahawa pertembungan pelbagai penjuru adalah cabaran yang besar bagi semua parti.

“Kita tidak pernah menutup mana-mana pintu rundingan tetapi setakat ini kita belum menerima kunjungan rasmi untuk berbincang mengenai hasrat gabungan berkenaan secara serius,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan RM100 kepada 240 keluarga di Parlimen Kubang Pasu di sebuah pasaraya besar di sini, semalam.

Seramai 240 keluarga daripada golongan berpendapatan rendah menerima sumbangan RM100 seorang bagi membeli barangan keperluan asas harian di pasar raya itu.

Menurutnya, setakat ini beliau hanya dimaklumkan terdapat beberapa kenyataan secara terbuka tentang hasrta GTA terbabit di media tanpa ada usaha untuk bertemu dan berbincang.

“Jadi saya rasa sehingga penamaan calon jika ada rundingan-rundingan yang ingin dilakukan perlu disegerakan,” katanya.

Menurutnya, mana-mana parti yang berhasrat untuk bergabung juga perlu memahami prinsip PN dengan jelas.

Berita Bersatu