Home » Salleh bersama beberapa ADUN UMNO kupi-kupi dengan Ketua Menteri
Politik Sudut Pandangan

Salleh bersama beberapa ADUN UMNO kupi-kupi dengan Ketua Menteri

Menurut Borneo Voice,Salleh bersama lebih 10 ADUN UMNO Sabah dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di sebuah Restoran tepi laut pantai Dalit Tuaran.Kumpulan yang diketuai Datuk Salleh telah berbincang beberapa perkara penting pada malam tersebut. (Foto: Borneo Voice)

BERPANDUKAN pada gambar yang dikongsikan, Datuk Salleh Tun Said, ADUN Umno Usukan bersama beberapa ADUN “kupi-kupi” dengan Ketua Menteri hujung minggu lalu.

Ironinya, pada hari yang sama Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar mengelurkan kenyataan, bahawa Umno Sabah bersedia bekerjasama dengan Datuk Shafie Apdal dan Datuk Peter Anthony berhadapan dengan PRN17 Sabah.

Kehadiran Salleh bersama beberapa ADUN Umno Sabah “kupi” dengan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengesahkan, khabar angin, sebahagian besar pemimpin Umno Sabah termasuk wakil rakyat parti itu menolak pendekatan Pengerusi Umno Sabah itu.

Bung telah mengetuai gerakan kudeta yang gagal terhadap Hajiji pada 6 Januari yang lalu. Semasa gerakan itu, Bung adalah Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerjaraya Sabah.

Ekoran kudeta yang gagal itu, kerajaan Sabah yang dikenali sebagai kerajaan GRS-BN telah bertukar kepada kerajaan GRS-PH PLUS pada 10 Januari 2023.

Masih tidak jelas, apakah isu yang dibincangkan semasa kupi-kupi itu, kerana tiada sebarang kenyataan daripada Ketua Menteri mahu yang hadir, walaupun gambar membawa 1001 erti.

Pandangan penulis, tiada yang boleh dibuat oleh para ADUN Umno Sabah itu, kecuali menyatakan sokongan pada kerajaan, dan kekal dengan parti sendiri.

Sokongan agar mereka dilihat relevan di kawasan masing-masing kerana dapat membantu rakyat menerusi peruntukan yang disalurkan.

Akan tetapi pada masa yang sama, Hajiji adalah Ketua Kerajaan dan presiden parti yang sedaya upaya mahu disingkirkan oleh Umno Sabah.

Apa kah Hajiji bersedia menghulurkan tangan pada mereka yang mempunyai niat menyingkirkan beliau? Dan nantinya akan berhadapan dengan situasi seperti melepaskan anjing tersepit?

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News