Home » Pengeluaran simen di CIS Teluk Sepanggar kurang akibat jentera utama rosak
Berita Tempatan Politik

Pengeluaran simen di CIS Teluk Sepanggar kurang akibat jentera utama rosak

Pengurus Besar Sumardi Mohd Yusof (gambar) memberitahu, dijangkakan kilang itu dapat meneruskan operasi seperti biasa bulan ini setelah selesai kerja-kerja pembaikan dilakukan yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan seperti yang dijadualkan.

KOTA KINABALU: Jentera utama kilang Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) di Teluk Sepanggar yang mengalami kerosakan sejak Oktober lepas telah menyebabkan pengurangan pengeluaran bekalan simen sebanyak 40 peratus.

Berikutan kerosakan itu, hanya 1,400 tan sehari bekalan simen dapat dihasilkan berbanding sebelumnya iaitu sebanyak 2,400 tan sehari.


Pengurus Besar Sumardi Mohd Yusof (gambar) memberitahu, dijangkakan kilang itu dapat meneruskan operasi seperti biasa bulan ini setelah selesai kerja-kerja pembaikan dilakukan yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan seperti yang dijadualkan.


Mengulas lanjut, Sumardi memberitahu CIS telah meningkatkan penghantaran simen untuk menjelaskan pesanan tertunggak.


“Bekalan juga terputus disebabkan oleh kelewatan dalam penghantaran bahan mentah dan penghantaran simen pukal akibat cuaca buruk di pelabuhan pemunggahan di Semenanjung Malaysia dan Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, CIS meningkatkan pengeluaran dan penghantaran simen ke pasaran dengan membawa masuk lebih banyak bahan mentah dan penghantaran simen pukal.


Tambah beliau,CIS turut melanjutkan operasi penghantarannya termasuk Ahad dan Cuti Umum bagi memastikan semua keperluan simen negeri dipenuhi.

— Kenneddy Corlleus