Home » Kerajaan beri RM2,000 kepada penjawat awam negeri
Berita Tempatan Politik

Kerajaan beri RM2,000 kepada penjawat awam negeri

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ketika mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah, termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan pekerja sambilan harian. 

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ketika mengumumkannya berkata ia akan dibayar dua kali, iaitu RM1,000 dibayar pada bulan Januari 2024 dan RM1,000 lagi dibayar menjelang Aidilfitri 2024.

“Saya berharap insentif ini memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk terus bersemangat dan berusaha  lebih gigih lagi demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” katanya.

Membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di DUN Sabah semalam, beliau berkata kerajaan amat menghargai komitmen dan usaha penjawat awam dalam menggalas tugas diamanahkan.

Katanya, perkhidmatan awam merupakan tunjang utama dalam jentera pentadbira negeri. 

Untuk itu, katanya, kerajaan komited bagi memantap dan membudayakan integriti di kalangan anggota perkhidmatan awam negeri secara menyeluruh. 

Menurutnya, peruntukan telah disalurkan kepada Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS) di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyelaras program pembudayaan integriti dan anti rasuah demi kecemerlangan sistem pentadbiran negeri.

Selain itu, peruntukan juga disediakan kepada semua Kementerian dan Jabatan di bawah perbelanjaan mengurus bagi memastikan semua program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

Masidi berkata kerajaan  juga memperuntukkan sebanyak RM25.06 juta untuk menggalakkan pembelajaran berterusan di kalangan penjawat awam bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan, kepakaran dan kemahiran dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

— TAMAT