Home » Hajiji berjaya bangunkan ekonomi, sejahterakan rakyat Sabah – Masidi
Berita Tempatan Politik

Hajiji berjaya bangunkan ekonomi, sejahterakan rakyat Sabah – Masidi

TIBA: Hajiji ketika tiba di DUN sabah untuk pembentangan Belanjawan Negeri 2024 tadi.

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menghargai kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, dalam mengemudi pentadbiran negeri Sabah.

Beliau berkata pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Hajiji bukan sahaja telah berjaya membangunkan ekonomi negeri dengan membawa masuk banyak pelaburan ke Sabah, tetapi juga berjaya menyatupadu dan mengekalkan keharmonian rakyat serta meningkatkan rizab kerajaan negeri.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 semalam, Masidi turut memberikan penghargaan kepada warga Kementerian Kewangan Sabah atas komitmen dan kegigihan dalam mengawal selia pengurusan kewangan dan penyediaan Belanjawan Negeri.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, ketika mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah.

“Berkat usaha, komitmen dan tata kelola yang baik, kerajaan negeri sekali lagi telah berjaya meraih pencapaian Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2022. 

“Ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan dan akaun kerajaan telah dilaksanakan dengan berhemah serta berlandaskan tatacara kewangan dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Kewangan Sabah adalah di antara empat agensi di seluruh negara yang menerima anugerah Apresiasi Penambahbaikan Tata Kelola Agensi (APTA) oleh SPRM semasa Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Anti Rasuah (KITA) pada bulan Oktober lalu.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri amat serius dan segera mengambil tindakan untuk menambahbaik sistem serta tatacara kerja bagi mencegah berlakunya gejala rasuah dan salah guna kuasa agar budaya berintegriti berada di tahap tertinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pemimpin dan rakyat Sabah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik untuk berganding bahu merealisasikan perancangan dan pembangunan negeri yang merupakan matlamat perjuangan bersama.

“Marilah kita menyantuni dan mendengar keluhan serta rintihan rakyat yang memerlukan pembelaan.

“Belanjawan 2024 sudah dibentang, dan sekarang kita sandarkan amanah ini kepada semua pihak yang berkenaan untuk melaksanakan dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab,” katanya.

— TAMAT