Home » Kerajaan negeri bentang Belanjawan bernilai RM5.701 bilion
Berita Tempatan Politik

Kerajaan negeri bentang Belanjawan bernilai RM5.701 bilion

TERBAIK: Masidi (tengah) menunjukkan buku Belanjawan Negeri 2024 ketika berada di DUN Sabah, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM5.701 bilion, dengan matlamat utama membangunkan ekonomi serta  membela kesejahteraan hidup rakyat.

Bertemakan `Sabah Teguh, Rakyat Terbela’,  belanjawan itu menggariskan lima strategi perbelanjaan bagi memastikan pembangunan secara mapan.

Ketika membentangkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata ia merupakan belanjawan lebihan sebanyak RM35.87 juta, dengan mengambil kira anggaran hasil negeri tahun hadapan sebanyak RM5.737 bilion.

Menurutnya, belanjawan itu dirangka khusus demi membela kesejahteraan hidup rakyat melalui pelaksanaan program pembangunan yang berterusan. 

“Saya ingin menekankan di sini bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyediakan Belanjawan yang holistik dan inklusif,” katanya.

Lima strategi perbelanjaan belanjawan itu ialah meningkat dan memperkasakan pertumbuhan sektor-sektor utama, iaitu pertanian dan keterjaminan makanan, perindustrian dan pelancongan.

Selain itu, memperkasa modal insan dengan memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran dan kerohanian agar mempunyai jati diri yang tinggi.

Ia juga fokus menangani jurang sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif yang menjurus kepada inklusiviti dan kesaksamaan.

Manakala strategi keempat ialah membangun pembolehdaya bagi menyokong pembangunan ekonomi yang meliputi infrastruktur dan infostruktur asas serta kemudahan awam.

Dan strategi kelima memperkasa keupayaan, kecekapan serta keberkesanan pentadbiran dan sistem penyampaian kerajaan negeri.

Sementara itu katanya, setakat bulan September 2023, inflasi Sabah direkodkan pada kadar 1.8 peratus iaitu sedikit lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional iaitu 1.9 peratus.

“Kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengawal kenaikan harga barang dan menstabilkan kadar inflasi di negeri ini agar dapat mengurangkan lagi bebanan serta tekanan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Katanya, menyedari kepentingan dan sumbangan tiga sektor pertumbuhan utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan. Kerajaan negeri meneruskan komitmen dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM813.56 juta untuk menyokong pembangunan ketiga-tiga sektor itu.

Untuk sektor pertanian katanya, kerajaan negeri berusaha meningkatkan hasil dan kualiti produk pertanian untuk memastikan tahap sara diri semua bekalan bahan makanan terus meningkat.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri akan mempergiatkan lagi usaha untuk memajukan sektor pertanian. Pelbagai inisiatif dan inovasi diperkenal dan dilaksanakan melalui program-program pembangunan tanaman, akuakultur, penternakan, perladangan getah serta pembangunan usahawan tani.  

“Bagi sektor perindustrian, kepesatan pertumbuhan sektor perindustrian di Sabah telah menarik kemasukan pelaburan-pelaburan baharu. 

“Ini terbukti apabila Sabah telah tersenarai sebagai negeri kelima tertinggi menerima pelaburan asing dan domestik dengan jumlah nilai RM9 bilion di sektor-sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan setakat pertengahan tahun 2023. 

“Justeru itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM124.06 juta untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi melonjakkan lagi pembangunan sektor ini,” katanya.

Untuk sektor pelancongan, Masidi berkata Sabah kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong. Setakat Jun 2023, seramai 1.2 juta kedatangan pelancong direkodkan dengan anggaran RM2.45 bilion resit pelancongan. 

Katanya, jumlah itu meningkat sebanyak 69.1 peratus berbanding hanya seramai 708,641 orang dengan RM1.19 bilion resit pelancongan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. 

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa sektor pelancongan di Sabah terus menunjukkan pertumbuhan kukuh untuk tahun ini dan tahun 2024.

“Kepesatan pertumbuhan industri pelancongan Sabah ini disokong dengan rangkaian udara yang lebih baik. Pada ketika ini, Sabah memperolehi sebanyak 367 penerbangan domestik dengan 61,237 kapasiti tempat duduk seminggu ke bandar-bandar utama di Malaysia.

“Bagi sektor penerbangan antarabangsa pula, Sabah kini dihubungkan ke 15 destinasi antarabangsa iaitu dengan 120 penerbangan seminggu dan 21,592 kapasiti tempat duduk,” katanya.

Menurutnya, sebagai persediaan ke arah penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, kerajaan negeri turut mengaktifkan acara ikonik seperti Mount Kinabalu International Climbathon dan Sabah Fest pada tahun hadapan. 

Selain itu katanya, Biro Konvesyen Sabah yang telah diperuntukkan sebanyak RM5 juta pada tahun hadapan akan membantu dan memberi sokongan kepada organisasi dan persatuan untuk menganjurkan acara Meetings, Incentive, Conference, Events (MICE) di negeri ini.

Katanya, inisiatif itu akan menarik delegasi Business Events yang berpotensi serta menjadikan negeri Sabah terkenal dengan pasaran leisure oleh para pelancong serta pengembangan kepada segmen Business Events. 

— Yap Siong Han