Home » RM474.55 juta perkasa pembangunan modal insan – Masidi
Berita Tempatan Politik

RM474.55 juta perkasa pembangunan modal insan – Masidi

Selaras dengan pembangunan pendigitalan global tanpa sempadan, Masidi berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur ICT di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkasa pembangunan modal insan dengan memperuntukkan sejumlah RM474.55 juta bagi tahun akan datang (2024), kata Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata pembangunan modal insan perlu dirancang dengan teliti bagi melahirkan tenaga kerja berilmu, berkemahiran dan berdaya saing dengan jati diri yang kukuh yang seterusnya menjadi aset berharga ke arah kemajuan sejagat.

“Maklumat adalah bahan mentah pengetahuan, kebijaksanaan adalah seni menggunakannya dengan bijak. Seperti yang dinyatakan dalam falsafah Cina, “zhīshì shì bǎokù, shíjiàn shì yàoshi (,)” yang bermaksud “ pengetahuan adalah harta, amalan adalah kunci kepadanya”.

“Pepatah ini menggambarkan pemerolehan pengetahuan adalah penting dalam membentuk dan mencorak tenaga kerja manusia yang berkemahiran dan berkualiti tinggi. Ini dicapai melalui pembelajaran berterusan dan aplikasi praktikal pengetahuan yang diperoleh.

“Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM474.55 juta untuk pembangunan modal insan, tahun depan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 di Dewan Undangan Negeri di sini, pada Jumaat.

Antara program modal insan yang diberi keutamaan oleh Kerajaan, Masidi berkata termasuk:

1) RM101 juta untuk biasiswa dan dermasiswa, memberi manfaat kepada 1,500 pelajar yang mengikuti pendidikan lanjutan;

2) RM131 juta untuk operasi serta pembangunan sekolah dan masjid agama Islam, serta program kerohanian di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah;

3) RM56.75 juta untuk pembangunan badan agama bukan Islam serta sekolah mubaligh, vernakular dan swasta;

4) RM44 juta untuk membantu pelajar kurang berkemampuan yang tidak mampu melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan serta bantuan untuk menyokong institusi pendidikan.

5) RM44.57 juta untuk operasi dan pembangunan perpustakaan termasuk perpustakaan desa dan mudah alih di seluruh Negeri;

6) RM27.45 juta untuk melaksanakan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia;

7) RM12.92 juta untuk melaksanakan kursus dan penyelidikan di institusi pertanian; dan

8) RM33 juta untuk melaksanakan kursus dan latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi.

KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika menghadiri pembentangan Kewangan negeri Sabah 2024 pada Jumaat

Selaras dengan pembangunan pendigitalan global tanpa sempadan, Masidi berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh dan mempercepatkan pembangunan infrastruktur ICT di Sabah, antara lain ialah:

  • Pemasangan 300 Terminal Apertur Sangat Kecil (VSAT) akan memastikan penduduk luar bandar mendapat akses jalur lebar melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM);
  • RM43.49 juta untuk menaik taraf sambungan Internet di 1,031 premis kerajaan negeri termasuk Pusat e-Desa menggunakan gentian optik dengan kelajuan minimum 300 Mbps; dan
  • RM27.17 juta untuk meningkatkan keselamatan siber dan mengukuhkan pemantauan, pengesanan serta pelaporan ancaman siber khususnya rangkaian internet negeri bagi memudahkan capaian maklumat oleh rakyat.

“Menerusi Memorandum Persefahaman antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dengan Muzium Sains dan Teknologi China (GSTM), belia Sabah yang berminat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan berpeluang menyertai sesi pembelajaran interaktif melalui penglibatan dalam pameran untuk mendapatkan pendedahan.

“Sebanyak 60 pameran akan dipamerkan dalam tempoh tiga tahun bermula Sept 2023 hingga Ogos 2026. Bagi tahun depan, pameran itu akan diadakan di lima daerah iaitu Membakut, Beaufort, Sipitang, Tenom dan Tawau,” katanya.

Tambahan pula, Masidi berkata Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (Scenic) juga akan meneruskan pelbagai program bagi memastikan pembangunan bakat modal insan di Sabah terus dipupuk, termasuk memacu industri animasi negeri menjadi Pusat Latihan Toon Boom berlesen pertama dalam Malaysia.

Beliau berkata Scenic telah diberi penghormatan dengan Agensi Sektor Awam Paling Berkesan Memacu Penggunaan Digital pada majlis Anugerah Inovasi Top Tech 2022, disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

— Hayati Dzulkifli