Home » 40 peratus kutipan bersih hak Sabah, peruntukan pembangunan persekutuan
Politik Sudut Pandangan

40 peratus kutipan bersih hak Sabah, peruntukan pembangunan persekutuan

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata satu kenyataan bersama Perdana Menteri (terdahulu) telah dikeluarkan pada 14 April 2022 bahawa tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak ada kaitan dengan pemberian khas .


SEBENARNYA tuntutan 40 peratus kutipan bersih Persekutuan daripada Sabah adalah hak negeri yang tidak memerlukan perbincangan kerana jelas terkandung dalam MA63; dalam perlembagaan diterjemahkan melalui Perkara 112D. Hak ini dalam peringkat pelaksanaan dan didahului dengan bayaran interim.

Manakala peruntukan pembangunan Persekutuan untuk Sabah adalah obligasi Persekutuan. Pemulangan 40 peratus hasil bersih hasil dan peruntukan pembangunan adalah dua perkara berbeza.

Membangkitkan isu peruntukan pembangunan Persekutuan bagi Sabah dan Sarawak yang hanya 13 peratus daripada Peruntukan pembangunan Persekutuan, sepatutnya tiada yang patut dibanggakan, kerana jumlah itu tidak selaras dengan pengertian rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.

Sepatutnya pemimpin Persekutuan menyedari bahawa kemajuan dan pembangunan di Semenanjung sudah melepasi puncak, manakala Sabah khasnya masih lagi terkial-kial termasuk lah penyediaan kemudahan asas.

Enam puluh tahun bukannya masa singkat, rakyat Sabah dinafikan daripada nikmat kemajuan.

Semasa tulisan ini tengah disiapkan, bekalan air masih dicatu saban hari antara pukul 12 tengah malam sehingga 6 pagi.

Rakyat Sabah bukan sahaja berhadapan dengan isu kemudahan asas, akan tetapi masih dibelengu dengan kemiskinan dan ramainya penganggur.

Selain daripada itu, peningkatan kos sara hidup kesan inflasi menambah kesengsaraan rakyat.

Betul parti yang sedang memerintah mempunyai misi kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan menerusi pendekatan Sabah first, Sabah forward, Sabah prosper dan Sabah united, semua ini akan terealisasi apabila hak-hak negeri dalam MA63 dilaksanakan sepenuhnya selain obligasi Persekutuan terhadap negeri dilaksanakan secara saksama.

Pemimpin negeri jangan lagi mudah terbuai dengan kenyataan-kenyataan politik daripada pemimpin Persekutuan yang berbentuk puji-pujian atau sokongan, kerana nada seumpama itu telah kita lalui berdekad lamanya, antaranya pernah kita dibuai dengan panggilan “Fixed Deposit Barisan Nasional”.

Perkara pokok sekarang adalah bagaimana negeri mendapat sebanyak mungkin haknya kerana ianya diperlukan untuk memajukan dan membangun negeri dengan pantas. Tanpa peruntukan besar, negeri yang begini luas, tentunya kemajuan dan pembangunan bukan sahaja perlahan juga mengalami “kemandekan”.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment