Home » Hak hasil Sabah tidak perlu dirunding kerana sudah dirunding semasa pembentukan Malaysia – Jeffrey Kitingan
Berita Tempatan Politik

Hak hasil Sabah tidak perlu dirunding kerana sudah dirunding semasa pembentukan Malaysia – Jeffrey Kitingan

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Pengerusi GRS merangkap Presiden Parti STAR , Wakil kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga merupakan Pengerusi GRS menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 2A Dan 2B .

KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutamanya berhubung pulangan 40 peratus hasil daripada negeri Sabah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyuarakan bahawa pemimpin persekutuan gagal memahami hak negeri untuk kerajaan persekutuan mengembalikan 40 peratus hasil daripada Sabah di bawah MA63.

Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa peruntukan pembangunan dan hak hasil berperlembagaan 40 peratus bukan perkara yang sama.

“Mereka perlu membaca Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan IGC dan perlu tahu tentang tuntutan 20 Perkara, dan secara keseluruhannya, di manakah kita sekarang,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pelancaran GRS Jelajah Wanita Zon 2 di Sekolah Menengah Kian Kok di sini, pada Ahad lalu.

“Hakikatnya 40 peratus (hak perolehan berperlembagaan) berbeza dengan peruntukan pembangunan.

“Malah dalam memperuntukkan bajet pembangunan, Kerajaan Pusat perlu melihat kepada tiga wilayah yang mana Sabah lebih besar daripada Semenanjung Malaysia.

“Setiap tahun, apabila saya lihat bajet pembangunan, lebih 87 hingga 90 peratus peruntukan adalah untuk Semenanjung Malaysia, tetapi hanya kira-kira 12 hingga 13 peratus digabungkan untuk Sabah dan Sarawak.

“Mereka harus mengubah dasar itu kerana kita memerlukan lebih pembangunan berbanding Semenanjung Malaysia. Kita lebih berpotensi untuk dibangunkan berbanding Semenanjung Malaysia yang hampir mencapai kemuncaknya.

“Rakyat seharusnya tidak keliru perbezaan antara Peruntukan Pembangunan, peruntukan-peruntukan lain, dan Hak Hasil Berperlembagaan,” katanya.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Sabah bersyukur kerana negeri itu menerima lebih banyak peruntukan pembangunan sebanyak RM6.6 bilion.

Jeffery berkata Putrajaya tidak boleh mencampur adukkan peruntukan pembangunan dengan hak perlembagaan ke atas hasil Sabah.

Tegasnya hak hasil adalah sangat asas dan sepatutnya tidak perlupun dirunding, kerana ia sudahpun dirunding semasa pembentukan Malaysia!” tegasnya.

Jelasnya Perkara 11 dalam 20 Perkara, Para 24 dalam laporan IGC, dan di bawah artikel 112C dan 112D, dan schedule 10 adalah hak berperlembagaan dan langsung tidak ada keperluan perundingan.

“Sudah tentu, berapa banyak yang perlu dibayar, ia bergantung kepada dua perkara termasuk kedudukan kewangan kerajaan persekutuan dan keperluan kewangan negeri. Saat ini keperluan kewangan kerajaan negeri sangat-sangat kritikal.

“Infrastruktur kita sangat ketinggalan jauh, masalah air dan elektrik semakin menjadi-jadi.

“Bagaimana membangun potensi-potensi yang ada? Bagaimana membangun padi mendapatkan jentera kalau tidak ada wang.

“Kita tidak mengambil wang Kerajaan Persekutuan atau mana-mana negeri lain, ia adalah wang kita yang mereka kutip, mereka hanya perlu pulangkan berdasarkan formula,” katanya.

Beliau mahu formula sudah tersedia, tidak perlu mencipta formula lain kerana 40 peratus telah mencatatkan apa yang harus dimasukkan.

“Namun, kita terima bayaran interim sebanyak RM300 juta tetapi berharap dapat menyelesaikan isu hak 40 peratus Sabah dalam masa setahun,” tegasnya.

Sementara itu, Pandikar Amin berkata sepanjang tempoh 10 tahun beliau sebagai Speaker Dewan Rakyat, terdapat penggubal undang-undang yang tidak tahu dan tidak faham mengenai dokumen dan perkara berkaitan MA63.

Menurutnya penangguhan disebabkan ramai penggubal undang-undang tidak mengetahui butiran MA63.

“Dengan hormat kepada sebahagian daripada mereka, mereka tidak tahu Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Suruhanjaya Cobbold, mahupun proses pembentukan Malaysia… sebab itu mereka tidak faham permintaan kita.

“Apabila kita membuat permintaan, sesetengah daripada mereka memandang kita dengan hairan. Jika mereka faham itu (dokumen dan proses), mereka akan menghormati pendapat kita.”

“Apakah yang sukar untuk mentafsir Perkara 112D, untuk memahami Jadual 10, untuk memahami 20 Perkara.

“Dalam perjalanan mencari fakta MA63, kami ke London. Saya terjumpa satu fail yang menyatakan pada masa itu, Sabah bertegas tidak berkompromi dalam isu cukai dan menegaskan hak itu adalah milik negeri,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, seperti dalam perjuangan selalu laungkan, “rumah kita, kita jaga”, harus mereka fahami dan ini dikatakan pemerkasaan.

Jelasnya lagi di peringkat kebangsaan penglibatan wanita dalam politik kurang daripada 15 peratus, sementara itu Sabah mensasarkan untuk menaikkannya kepada 30 peratus.

— TAMAT