Home » KPDN warta 14 barangan sempena SHMMP Krismas 2023
Berita Tempatan Politik

KPDN warta 14 barangan sempena SHMMP Krismas 2023

BERTUAH: Armizan (dua kanan) menunjukkan harga runtuh untuk barangan terpilih sempena Program Jualan Rahmah.

KOTA KINABALU: Sebanyak 14 jenis senarai barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan SHMMP Krismas akan dikuatkuasakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember 2023.

Katanya, 14 jenis barangan terbabit termasuk daging kambing biri-biri bertulang import; tomato; lada benggala hijau; kubis bulat import (China dan Indonesia); lobak merah; cili merah; ubi kentang import (China); bawang merah besar import; bawang kuning besar; ayam tua hidup (Sarawak); kepak ayam; babi hidup (dikawal peringkat ladang); daging babi (perut); dan daging babi (daging dan lemak) yang dikawal di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Dengan adanya penetapan kawalan harga maksimum ini, para peniaga tidak boleh menjual lebih dari harga yang ditetapkan dan kalau mahu jual pada harga lebih rendah dialu-alukan.

“Setiap barangan yang diwartakan dalam senarai SHMMP diletakkan tanda harga berwarna merah jambu dan penguatkuasaan ini melibatkan pihak pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya pada sidang media sempena Program Jualan Rahmah dan Pengumuman Harga SHMMP Krismas 2023 di sini kelmarin.
 
Beliau berkata,  barangan yang tersenarai untuk SHMMP dipilih berdasarkan permintaan tinggi terutama pada musim perayaan Krismas.

Menurutnya, ia juga bagi memastikan rakyat khususnya mereka yang menyambut Hari Krismas mendapat bekalan barangan pada harga yang munasabah.

Pada masa sama katanya, tindakan itu juga bagi mengelakkan ada unsur pencatutan dan manipulasi harga oleh pihak yang berkaitan.

Selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pelaksanaan SHMMP Krismas ini juga mendapat kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang akan melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan mencukupi. 

“Semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang KPDN di https://www.kpdn.gov.my.

“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. 

“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” jelasnya. 

Armizan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang.

–Siti Aisyah Narudin