Home » YCS22 Sabah dijadikan medan laksana program berimpak tinggi
Berita Tempatan

YCS22 Sabah dijadikan medan laksana program berimpak tinggi

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor (kiri) berkata,tumpuan seharusnya diberikan untuk menambah baik bukan hanya kepada sistem pendidikan negara, malah juga sistem rantaian perkhidmatan serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan ketika perasmian YCS22 Sabah peringkat negeri, di sini hari ini.Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy (kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu Simposium Inspirasi Kerjaya Anak Muda Sabah 22 (YCS22 Sabah) dapat meningkatkan kesedaran serta kefahaman untuk agensi kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, agensi terbabit adalah khususnya terlibat dalam memberi dan menyediakan program latihan berimpak tinggi kepada belia dalam menghasilkan kebolehpasaran pekerjaan anak muda di negeri ini.

Katanya, simposium yang julung kali diadakan ini akan menjadi salah satu inisiatif bagi menyediakan platform kepada tenaga pakar mengekspresikan dapatan, berkongsi maklumat dan kejayaan bagi membantu mengatasi masalah jurang pengangguran.

“Justeru, adalah penting bagi semua pihak di negeri ini khususnya agensi-agensi berkaitan melihat perubahan pemikiran anak muda terhadap sektor pekerjaan memerlukan kemahiran bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan sekarang.

“Untuk menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi, pembangunan bakat amat penting. Oleh itu, sistem pendidikan perlu menghasilkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri.

“Tumpuan seharusnya diberikan untuk menambah baik bukan hanya kepada sistem pendidikan negara, malah juga sistem rantaian perkhidmatan serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan,” katanya ketika merasmikan YCS22 Sabah peringkat negeri, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy.

Hajiji berharap simposium ini dapat memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, universiti serta pihak industri merangkumi peluang baru pekerjaan yang perlu diterokai bersama.

“Pembangunan modal insan dan pembangunan tenaga kerja golongan muda merupakan elemen utama yang amat penting dalam membawa Sabah mendepani perubahan lanskap yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi. 

“Menyedari hakikat itu, Sabah juga tidak mahu ketinggalan dalam memantapkan pembangunan modal insan terbaik bagi menyokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi tinggi. 

“Tanggungjawab ini diamanahkan kepada beberapa kementerian dan agensi untuk melaksanakan program latihan serta kemahiran antaranya Kementerian Sains dan Teknologi serta Kementerian Belia dan Sukan negeri.

“Semoga segala usaha yang dilaksanakan ini akan memberi impak signifikan kepada agenda pembangunan negeri yang sedang dijalankan oleh kerajaan, terutama Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seluruh dunia hari ini mengalami masa hadapan yang ketidaktentuan yang disebut sebagai cabaran dunia VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity).

“Dalam menghadapi permasalahan ini, kesediaan kita dalam laksana pemulihan perlulah disusun strategi dengan teratur agar bersedia dalam menghadapi krisis terutama kapasiti penjanaan modal insan yang berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji juga berharap belia dan pencari kerja agar mendaftarkan diri mereka dengan Portal Kerja Sabah, selain portal pekerjaan nasional MYFutureJobs.

“Kerajaan negeri telah melancarkan portal seperti Portal Kerja Sabah dan MYFutureJobs, yang merupakan platform untuk mencari pekerjaan di dalam negara serta saluran percuma untuk majikan dalam sektor swasta untuk mengiklankan jawatan kosong,” katanya.

Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment