Home » Israel tidak akan beri visa automatik kepada petugas PBB
Berita Am Berita Luar Negara

Israel tidak akan beri visa automatik kepada petugas PBB

Eylon Levy berkata, Israel akan mempertimbangkan permintaan visa daripada pekerja PBB berdasarkan kes demi kes dan bukannya secara automatik. – Foto X/Eylon Levy

TEL AVIV: Israel umum tidak akan lagi memberikan visa secara automatik kepada pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia sebagai tindak balas terhadap PBB kerana Israel mendakwa badan dunia tersebut merupakan rakan kongsi kepada kumpulan pejuang Hamas.

Israel juga menuduh PBB bersubahat dengan kumpulan pejuang itu serta meminggirkan nasib Israel sepanjang konflik tersebut berlangsung.

Jurucakap kerajaan, Eylon Levy berkata, Israel akan mempertimbangkan permintaan visa daripada pekerja PBB berdasarkan kes demi kes dan bukannya secara automatik.

“Sudah terlalu lama pegawai antarabangsa mengalihkan kesalahan kepada Israel, untuk menutup fakta bahawa mereka menyokong Hamas.

“Dengan gagal mengutuk Hamas kerana merampas bantuan dan gagal mengutuknya kerana melancarkan perang keluar dari hospital, mereka telah menjadi rakan kongsi dalam strategi perisai manusia Hamas.

Mereka telah mengecewakan dunia. Kami menuntut akauntabiliti global. Dan kini kami memimpin melalui teladan – Kementerian Luar Negeri telah mengumumkan bahawa permintaan visa oleh pekerja PBB tidak lagi akan diberikan secara automatik dan sebaliknya akan dipertimbangkan berdasarkan kes demi kes,” katanya.

Selain itu, tindakan itu dijangka meningkatkan ketegangan antara badan dunia itu dan Israel.

Zionis sebelum ini mendakwa PBBb mengarahkan kritikan yang tidak adil dan tidak seimbang kepadanya.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan PBB dan kumpulan pejuang Hamas.

AWANI