Home » Akademi Al-Quran dan Tarannum DUN Lumadan diyakini mampu lahirkan Qari dan Qariah berkualiti
Berita Tempatan Politik

Akademi Al-Quran dan Tarannum DUN Lumadan diyakini mampu lahirkan Qari dan Qariah berkualiti

Dalam pada itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya menyasarkan untuk memperluas akedemi itu dengan melibatkan lebih ramai golongan muda.

BEAUFORT: Akademi Al-Quran dan Tarannum (AAT) yang dilaksanakan di kawasan Lumadan diyakini mampu melahirkan Qari dan Qariah berkualiti yang boleh diketengahkan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi, kata Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.

Mengulas lanjut, Ruslan berkata, akademi berkenaan yang ditubuhkan sejak Julai lepas memainkan peranan yang cukup penting yang disertai lebih 70 Qari dan Qariah dari kawasan Lumadan.


Jelasnya, selama 20 minggu mereka diberi pendedahan bagi memperkasa mutu bacaan Al-Quran seterusnya menjadi Qari dan Qariah terbaik mewakili daerah ke Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Negeri Sabah.


“Suatu ketika dahulu, daerah ini pernah melahirkan ramai Qari dan Qariah terbaik di negara ini malah ada beberapa orang yang pernah menjadi johan di MTQ Peringkat Kebangsaan.


“Justeru, kita ingin mengulangi kegemilangan ini dengan melahirkan ramai Qari dan Qariah berkualiti tinggi menerusi akademi yang terletak di bawah Biro Agama Pejabat DUN Lumadan ini,” katanya.

PENGHARGAAN: Ruslan (empat kiri) menerima cenderakenangan sempena Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Zon Gadong dan Festival Kesenian Islam Peringkat DUN Lumadan yang diadakan di Masjid Kampung Suasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan MTQ Zon Gadong dan Festival Kesenian Islam Peringkat DUN Lumadan yang diadakan di Masjid Kampung Suasa, Sabtu lepas.


Dalam pada itu, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya menyasarkan untuk memperluas akedemi itu dengan melibatkan lebih ramai golongan muda.


Selain bertujuan melahirkan pelapis Qari dan Qariah usaha itu juga diyakini secara tidak langsung menarik minat belia memandangkan sebahagian peserta pada masa ini adalah golongan berusia.


“Kita akan turut libatkan penyertaan anak-anak sekolah yang bukan saja melahirkan pelapis Qari dan Qariah terbaik tetapi juga didik mereka mencintai Al-Quran.


“Melaluinya, kita mampu melahirkan pelapis yang dapat menguasai mutu bacaan Al-Quran,” katanya sambil menambah pihaknya akan memperkasa Festival Kesenian Islam Peringkat DUN Lumadan dengan penganjuran lebih besar pada tahun hadapan.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment