Home » Sejarah Politik Sabah:Iktibar untuk generasi muda
Politik Sudut Pandangan

Sejarah Politik Sabah:Iktibar untuk generasi muda

Politik Sabah mencetus pergolakan selepas Bung Moktar mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan GRS-BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sabah dan Sarawak punya bentuk muka bumi, iklim, demografik dan sejarah yg hampir sama di bawah Kesultanan Brunei dan dijajah oleh British. Cuma komposisi suku kaum berbeda tetapi budaya dan cara hidup hampir sama walaupun penduduk Sabah dan Sarawak tidak kenal antara satu dengan lain. Masa itu Sabah dan Sarawak adalah dua negara berbeda dan jarak yg sangat jauh kerana tiada sistem perhubungan yang sempurna.

Bila Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia, semangat orang Sabah dan Sarawak ada yang ANTI KEPADA ORANG MALAYA. Kerana kesombongan Malaya terutama askar – askar Malaya yg bertugas di Sabah dan Sarawak suka mengganggu perempuan Sabah dan Sarawak. Mereka juga memandang rendah pada lelaki Sabah dan Sarawak. Pergaduhan sering berlaku di mana – mana yang ada askar Malaya.

Patriotisme Sarawak dan mempertahankan Pemimpin,Pegawai Kerajaan dan orang awam Sarawak terhadap negeri mereka sangat kuat dan kekal hingga ke hari ini. Dimana orang Malaya sukar bekerja ke Sarawak dan sukar orang Malaya berniaga atau membuat perniagaan di Sarawak sehingga ke hari ini.

Kita analisa situasi di Sabah:
Semasa USNO memerintah memang kita masih kuat Anti Malaya. Tetapi apabila Malaya tubuh Parti BERJAYA untuk jatuhkan USNO dan Tun Fuad meninggal akibat kemalangan udara. Ketua Menteri Datuk Haris Salleh pada masa itu sangat mesra dengan (Perdana Menteri) PM Malaya Tun Mahathir (Tun M) sehingga Tun M sanggup “sink and swim” dengan BERJAYA. Masa Berjaya banyak tanah Sabah jatuh ke tangan Syarikat atau Individu Malaya seperti Felda,Sime Darby, Tabung Haji, IOI dan lain lain termasuk syarikat Sarawak yang jumlahnya ratusan ribu ekar. Kemuncak kerosakkan adalah keputusan menyerahkan Labuan kepada wilayah persekutuan.

Akibat itu, Parti Bersatu Sabah (PBS) muncul dan BERJAYA jatuh. Semasa pemerintahan PBS , anti Malaya menebal semula. Tetapi masa itu PBS silap, di samping ANTI MALAYA, PBS juga terbawa-bawa ANTI ISLAM, sehingga kerjasama dan perjanjian dengan USNO menjatuhkan BERJAYA dinodai atau dilanggar menyebabkan pemimpin-pemimpin USNO, penyokong USNO serta mereka yang simpati dengan USNO terutama pegawai kerajaan Islam ( termasuk saya) bangkit menentang PBS.

Ketegangan PBS – USNO tidak pernah kendur dan gelombang kemuncak kemarahan USNO ialah apabila PBS/ Pairin keluar dari Barisan Nasional (BN) pada PRU 1990 dan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh membentuk APU- Angkatan Perpaduan Ummah utntuk menjatuhkan Kerajaan BN. Oleh Kerana PBS dan USNO di Sabah kedua duanya berada di dalam BN maka USNO tiada calon MP di kawasan tertentu dan calon MP dari PBS menang tanpa bertanding.

KL/ BN dan USNO juga marah maka timbullah idea membawa masuk UMNO ke Sabah mekalui USNO. Akhirnya pada 21 Februari 1991, USNO secara en bloc menjadi UMNO. Ya saya akui kita silap, tapi ini sudah menjadi sejarah.

Kerosakkan bertambah parah apabila BN UMNO berkuasa di Sabah dan memang banyak keputusan-keputusan di Sabah kena rujuk ke Kuala Lumpur. Ketua Perhubungan UMNO dan Ketua Menteri ditentukan oleh Kuala Lumpur. Yang sangat jelas Sabah dijajah adalah bila Sabah akur dengan Sistem Penggiliran Ketua Menteri. Mana ada satupun negeri di Malaysia, Kuala Lumpur boleh tentukan Ketua Menteri setiap dua tahun .

Pilihan Raya Negeri (PRN).Kerosakkan Sabah berterusan bila:

  • Pemimpin UMNO Sabah bercakaran di semua Bahagian dan Negeri.
  • Pengilliran Ketua Menteri menjadikan halatuju negeri tidak menentu.
  • Perlantikan dan Pertukaran Pegawai Kerajaan juga tidak menentu bila Ketua Menteri bergilir.
  • Pegawai Kerajaan tidak fokus bila tahu CM (Chief Minster/Ketua Menteri) cuma ada dua tahun kerana bila-bila boleh ditukar
    dengan Ketua Menteri baru

Kerosakkan semakin bertambah bila BN/ UMNO berkuasa di Sabah. Budaya UMNO Semenanjung
bawa ke Sabah dimana:

  • Politik wang dan rasuah menjadi- jadi.
  • Pemimpin UMNO seperti king dan sombong tidak boleh ditegur. Siapa tegur terus digantung atau pecat.
  • Pemimpin UMNO mahu kekalkan jawatan kalau boleh hingga mati.
  • Akhirnya rakyat semakin benci sehingga BN jatuh pada PRU14,dan semakin teruk pada PRU15 kerana
    UMNO tidak juga berubah hingga ke hari ini.

Akibat pergolakan politik ini, tanpa disedari ia sebenarnya merosak pembangunan dan kemajuan.


Pemimpin-pemimpin dan Pegawai Kerajaan tidak fokus. Bayangkan Sabah sudah tukar 6 kerajaan ( USNOBERJAYA- PBS- BN-WARISAN PLUS- GRS PLUS) dan 16 CM . Berbanding Sarawak cuma ada 6 CM dan satu kerajaan.. cuma kerajaan terakhir mereka beri nama baru Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Analisalah !! Semua terkandung dalam tulisan ini. Jadi apa fikiran kita?? Teruskan seperti dulu atau berubah?

Ini masa kita ikut model jiran kita Sarawak.


*Dr Yusof Yacob merupakan ADUN Sindumin dari  Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau juga merupakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Sindumin.