Komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan MADANI bagi menambah baik skim upah lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam sedikit melegakan 1.6 juta petugas di seluruh negara. – Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Biarpun berbaki setahun lagi untuk dilaksana namun komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan MADANI bagi menambah baik skim upah lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam sedikit melegakan 1.6 juta petugas di seluruh negara.
Keseriusan ini dapat dilihat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim acap kali memberi jaminan malah terbaharu ketika melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pada Selasa sekali lagi menegaskan akan menyegerakan pelarasan gaji penjawat awam yang kali terakhir disemak pada 2012 iaitu lebih 10 tahun lepas.
Bakal dilaksana pada 2025, kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah bertepatan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang boleh diibaratkan sebagai kerangka ‘rumah lama’ kerana sudah digunakan sejak 2002 dan tidak lagi relevan dengan persekitaran ekonomi semasa negara.
Apatah lagi dengan peningkatan kos sara hidup yang begitu drastik ketika ini berbanding pendapatan diterima menyebabkan skim pelarasan gaji penjawat awam tidak boleh dilengahkan lagi, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat.
Meskipun begitu, beliau berkata, pemberian elaun khas wajar dipertimbang sementara menunggu pelarasan gaji pada 2025 bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penjawat awam khususnya di kawasan bandar ketika ini.
“Sekiranya isu kewangan menjadi kekangan kerajaan ketika ini, mungkin boleh dipertimbang elaun khas terlebih dahulu sementara menunggu pelarasan gaji SSPA. Selepas SSPA dimuktamadkan kelak dan berlaku kenaikan gaji maka kerajaan boleh mansuhkan bayaran elaun khas tersebut,” katanya kepada Bernama pada Rabu.
Beliau berkata, usaha ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan gaji bersih penjawat awam sekali gus membantu mereka mendepani situasi sukar dalam menangani beban ekonomi yang semakin mencabar selepas pandemik COVID-19.
Biarpun langkah pelarasan gaji adalah sesuatu yang baik namun struktur baharu yang akan diperkenal perlu lebih mampan dan kompetetif bagi meningkatkan taraf hidup penjawat awam serta produktiviti mereka, kata pensyarah Pentadbiran Awam Universiti Putra Malaysia, Noor Mohamad Shakil Hameed.
Bersifat serampang dua mata, peningkatan taraf hidup juga membolehkan penjawat awam memiliki kuasa beli yang lebih baik berbanding sebelumnya sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, beliau mengharapkan agar kajian SSPA dapat dimuktamadkan segera dan dilaksanakan tahun ini berbanding perancangannya pada 2025 kerana ramai penjawat awam khususnya gred rendah terpaksa melakukan dua kerja bagi menampung kehidupan di bandar.
“Skim gaji lebih mampan akan menyuntik semangat serta motivasi penjawat awam untuk meningkatkan prestasi kerja apabila mereka lebih produktif, berdaya saing dan komited melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Ini kerana pembayaran upah adil dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan serta dedikasi penjawat awam selain dapat menangani masalah integriti yang sering dikaitkan dengan mereka kerana ada sesetengahnya menerima rasuah bagi menampung gaji yang kecil,” katanya.
Pada 14 Julai 2023, kerajaan bersetuju mengkaji semula SSM dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup berikutan tiada semakan gaji dibuat sejak 2012.
Susulan itu, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) diadakan pada 7 Ogos tahun lepas bagi membincangkan kajian SSPA sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam.v- BERNAMA
— AWANI
Add Comment