Home » Johair dan jawatankuasa pimpinan bahagian, sayap sertai Gagasan Rakyat Klias
Berita Tempatan Politik

Johair dan jawatankuasa pimpinan bahagian, sayap sertai Gagasan Rakyat Klias

ALBUM: Isnin merakamkan gambar kenangan bersama Johair dan rombongan sempena majlis itu.

BEAUFORT: Naib Presiden 1 Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Johair Matlani semalam mengumumkan keluar daripada parti KDM dan menyatakan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu majlis yang diadakan di salah sebuah hotel dekat sini yang dihadiri Ketua Bahagian GRS Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.


Johair meletak jawatan sebagai Naib Presiden 1 Parti KDM berkuatkuasa Ahad lalu, termasuklah jawatan Ketua Bahagian KDM Parlimen Beaufort bersama-sama jawatankuasa pimpinan bahagian, sayap Wanita, Pemuda dan juga Puteri.


Tegasnya, tindakan yang dibuat itu hasil daripada persetujuan bersama jawatankuasa pimpinan bahagian dan juga sayap-sayap, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak dengan harapan untuk menguatkan lagi GRS Bahagian Beaufort serta Gagasan Rakyat Klias dan Gagasan Rakyat Kuala Penyu.

 
“Saya mewakili 23 jawatankuasa pimpinan bahagian, 16 ahli masing-masing daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri mengumumkan keluar daripada parti KDM berkuatkuasa hari ini (Ahad), bagi menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan juga Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias.

“Hasrat kami adalah untuk mengukuhkan lagi GRS dan Gagasan Rakyat di bahagian ini termasuklah di kawasan Parlimen Beaufort kerana kita bakal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke 17, ” katanya.


Dalam pada itu, Isnin yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Klias ketika ditemui menyambut baik keputusan Johair bersama-sama jawatankuasa pimpinan bahagian dan sayap-sayap atas tindakan keluar daripada KDM dan menyertai Gagasan Rakyat bahagian itu.


Beliau berkata, ia membuktikan Gagasan Rakyat sebagai sebuah parti tempatan semakin diyakini rakyat kerana telah memperjuangkan pelbagai perkara demi kemakmuran Sabah dan hari ini parti itu melakar sejarah apabila terus mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan.


Jelasnya, Gagasan Rakyat Klias semakin bertambah kukuh dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan PRU16 dan PRN17 dan bercadang meletakkan calon daripada gabungan itu dalam pilihan raya akan datang.

— Kenneddy Corlleus