Pasukan siasatan polis menemui ‘molotov cocktail’ di lokasi kejadian. – Gambar/ PDRM
IPOH: Polis sedang mengesan individu yang terbabit dalam insiden kebakaran kenderaan milik Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di kediamannya di Ayer Tawar, Manjung awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pada jam 2.55 pagi tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung telah menerima panggilan daripada Koo Ham melaporkan kejadian berkenaan.
“Kejadian kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz, serta Honda CRV yang rosak di bahagian bampar belakang selain Toyota Hilux terkesan di bahagian hadapan.
“Turut ditemui di lokasi kebakaran satu botol disyaki molotov cocktail,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Yusri berkata, sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837.
Terdahulu, media melaporkan tiga kenderaan milik Koo Ham musnah dalam kebakaran di kediamannya di Lorong Semarak Jaya, Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini, awal pagi Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataanya berkata, kenderaan yang terbabit ialah Mercedes, Honda CRV dan Toyota Hilux.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar ke lokasi.
— AWANI
Add Comment