Home » Penahanan ejen Mossad, Peja persoal pendirian Anwar
Berita Dalam Negara Politik

Penahanan ejen Mossad, Peja persoal pendirian Anwar

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kenyataan ‘defensive’ Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fazil juga tidak menafikan kebenaran bahawa penculik itu sememangnya adalah penyokong PKR dan PH dan tidak cukup untuk menjawab kebimbangan rakyat mengenai elemen liberal dalam parti itu.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan pendirian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penahanan beberapa individu termasuk rakyat tempatan yang disyaki terbabit dengan ejen perisikan Israel, Mossad.

Beliau berkata, dua dari suspek yang ditangkap didapati penyokong PKR dan Pakatan Harapan (PH), tetapi hanya satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berhubung perkara itu.

Katanya, kenyataan ‘defensive’ Fahmi juga tidak menafikan kebenaran bahawa penculik itu sememangnya adalah penyokong PKR dan PH dan tidak cukup untuk menjawab kebimbangan rakyat mengenai elemen liberal dalam parti itu.

“Ini membawa balik kepada persoalan besar, apakah sebenarnya pendirian Anwar Ibrahim dan PH terhadap rejim zionis Israel.

“Adakah Anwar masih berpendirian bahawa beliau akan menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara zionis Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan, seperti kenyataan beliau kepada Wall Street Journal pada 2012. Kenyataan itu juga dikecam oleh Duta Palestin Abdelaziz Abhughosh pada 30 Januari 2012.

“Persoalan ini menjadi lebih serius memandangkan Anwar dinamakan calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan bagi PRU15. Adakah beliau sedia menarik balik kenyataan beliau itu serta berjanji kepada rakyat tidak akan berkompromi dengan Israel?” katanya dalam kenyataan, semalam.

Ahmad Faizal turut mempersoalkan pendirian DAP mengenai status negara zionis Israel, malah PKR serta PH tidak wajar untuk terus berdiam mengenai isu yang membabitkan keselamatan negara.

“Rakyat mempunyai hak untuk mengetahui daripada pimpinan PH mengenai, sejauh mana terdapat penyerapan elemen pro-Israel ke dalam penyokong ataupun keanggotaan PH dan PKR.

“Adakah ada penyiasatan atau sebarang tindakan dilakukan oleh PH dan PKR mengenai penyerapan elemen Zionis antara penyokong mereka; dan pendirian Anwar mengenai sokongan bagi keselamatan Israel serta persoalan membuka kedutaan di Israel,” katanya.

Berita Bersatu

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment