Home » Pasukan petugas dibentuk untuk pantau isu elektrik dan air di Sabah
Berita Tempatan Politik

Pasukan petugas dibentuk untuk pantau isu elektrik dan air di Sabah

MESYUARAT: Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kabinet Negeri bersetuju membentuk pasukan petugas bagi memantau isu air dan elektrik di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pasukan petugas itu akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong dan akan bermesyuarat seminggu sekali atau setiap dua minggu untuk meneliti semua isu berkaitan bekalan air dan elektrik.

Sehubungan dengan itu, katanya, Kabinet Negeri juga telah mengarahkan semua ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri mengelak daripada mengumumkan atau mengeluarkan kenyataan mengenai projek pembangunan tanpa sebarang lampu hijau daripada Kabinet.

“Semua GLC negeri dikehendaki merujuk kepada menteri masing-masing atau Kabinet Negeri sebelum membuat sebarang perjanjian bagi mengelak komplikasi pada masa hadapan. Kabinet memandang serius perkara itu,” kata Hajiji selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu dekat sini, hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Menteri turut menyatakan beberapa pencapaian terutamanya pengambilalihan kuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau juga turut mengiktiraf prestasi kukuh anak syarikat kerajaan negeri yang baru ditubuhkan, SMJ Energy Sdn Bhd.

Menurutnya, SMJ Energy Sdn Bhd telah pun membayar pinjaman RM5 juta kepada kerajaan negeri dalam tempoh kurang setahun penubuhannya.

“Daripada syarikat aset sifar, ia mempunyai lebih daripada RM5 bilion aset pada Disember 2023, selain itu SMJ Energy juga telah berjaya menerbitkan sukuk wakalah bernilai RM900 bilion di bawah program wakalah sukuk pelbagai mata wang syarikat sehingga RM10 bilion dalam nilai nominal tahun lepas.

“Kejayaan lain di bawah kendalian SMJ Energy ialah pengambilalihan 50 peratus ekuiti dalam pengeluaran medan minyak Samarang, 25 peratus kepentingan dalam Samur dan dalam loji LNG berhampiran pantai di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP),” katanya.

Hadir sama tiga pembantu menterinya Datuk Abidin Madingkir, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Ruslan Muharam, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Peguam Negara, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan ketua-ketua jabatan.

–TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment