Home » PPU Lingkudau mempunyai impak tinggi kepada penduduk
Berita Tempatan Politik

PPU Lingkudau mempunyai impak tinggi kepada penduduk

Masidi berkata, demi kelangsungan bekalan elektrik yang lebih mampan untuk rakyat di kawasan sekitar, projek itu telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada projek berimpak tinnggi yang dilaksanakan.

RANAU: Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Lingkudau sangat berimpak tinggi kepada penduduk setempat.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ia kerana bertujuan memberikan bekalan elektrik yang lebih berdaya harap dan lebih stabil. 

“Pembekalan elektrik ke kawasan Ranau adalah melalui grid dan tidak lagi bergantung kepada Stesen Janakuasa yang menggunakan diesel.

“Pembinaan PPU ini juga bertujuan menyediakan kapasiti elektrik bagi pembangunan yang akan datang bagi meningkatkan lagi ekonomi di Ranau,” katanya ketika merasmikan PPU 33/11Kv Lingkudou Ranau, di sini hari ini.

Beliau berkata, demi kelangsungan bekalan elektrik yang lebih mampan untuk rakyat di kawasan sekitar, projek itu telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada projek berimpak tinnggi yang dilaksanakan.

Katanya, dengan siap sepenuhnya PPU Lingkudou ini nanti, ia akan mampu menampung permintaan bekalan elektrik di daerah ini seterusnya membantu pembangunan ekonomi rakyat di Ranau.

“Kerajaan negeri akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan rakyat menerima bekalan tenaga elektrik yang mencukupi, dipercayai, eifisien, berpatutan dan selamat.

“Peranan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) amat penting sebagai pemangkin yang bertindak kepada penjana ekonomi Sabah khasnya menerusi agenda Sabah Maju Jaya dan memenuhi peranan sebagai syarikat pembangun dan pembekal tenaga elektrik untuk Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan. 

“Kemajuan kemudahan bekalan elektrik di Ranau ini juga secara tidak langsung membantu rakyat meningkatkan taraf kehidupan mereka selari dengan daerah-daerah lain yang lebih maju di negeri ini.

Justeru itu katanya, aspek tadbir urus perlu diperkasakan selaras dengan perkembangan sektor bekalan elektrik yang merangkumi penambahbaikan rangka kerja dan sistem perundangan, infrastruktur, pemasaran serta penggunaan elektrik.

“Saya berharap SESB akan lebih berkembang maju di bawah kawal selia yang baharu bermula pada Januari 2024 ini. 

“Sebagai pembekal elektrik utama di Sabah, SESB memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan mampu milik,” katanya.

— Yap Siong Han