Home » Undang-Undang larang ubah kerajaan tidak demokratik
Politik Sudut Pandangan

Undang-Undang larang ubah kerajaan tidak demokratik

Jika ada undang-undang menghalang perubahan kerajaan, apabila didapati kerajaan yang dibentuk memudaratkan negara dan rakyat, maka akan memberi kesan pada rakyat dan negara selama sepenggal, itu pun jika tidak digubal undang-undang baharu untuk prorog kerajaan untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Cadangan Dato’ Seri Di Raja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi agar ada undang-undang melarang mengubah kerajaan di luar pilihan raya sebelum tamat penggal dilihat tidak demokratik.

Makna undang-undang itu, jika sekalipun Perdana Menteri atau kerajaan hilang sokongan majoriti, kerana atas pertimbangan, bahawa kerajaan itu telah dibentuk maka wajib dikekalkan.

Tiada mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen menggunapakai pendekatan ini.

Rupanya tindakan masa lalu mengubah kerajaan di luar pilihan raya walaupun tidak melanggar perlembagaan akan tetapi dilihat sebagai salah.

Menukar kerajaan diluar pilihan raya, adalah tindakan yang dipelopori pemimpin Umno seawal tahun 1994 di Sabah, kemudian di Perak pada tahun 2009, walaupun sebelum itu mencuba di Kelantan selepas PRU tahun 2004.

Di lain pihak pula, PMX adalah pemimpin yang pernah mengerakkan mengubah kerajaan di luar pilihan raya, antaranya pada tahun 2008 dan kedua pada tahun 2020, walaupun kedua-duanya tidak terealisasi, akan tetapi, tindakan “anak murid” berjaya memaksa seorang Perdana Menteri meletakan jawatan pada tahun 2021.

Pada Januari 2023 juga berlaku cubaan menukar kerajaan di Sabah yang digerakan oleh sekumpulan ADUN Umno yang diketuai Datuk Bung Moktar Radin, akan tetapi tindakan itu digagalkan atas bantuan ADUN Pakatan Harapan.

Pada hakikatnya mengubah kerajaan Persekutuan hari ini dicanangkan sebelum PRN2023 enam negeri dan menggunakan keputusan PRN itu jika majoriti rakyat berpihak pada Perikatan Nasional (PH) maka diramal ada ahli parlimen yang menyokong kerajaan mengubah sokongan, akan tetapi walaupun pada PRN itu Umno mengalami kekalahan teruk, manakala PH banyak kehilangan kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, akan tetapi tidak berlaku perubahan sokongan, sebaliknya sokongan semakin bertambah daripada 148/222 ke 152/222.

Dengan sokongan yang semakin bertambah, entah daripada mana Timbalan Pengarah J-KOM mendapat mimpi, bahawa ada Langkah Dubai, malah ada pihak merekayasa senarai ahli parlimen yang berjumlah 120-122 menyokong pembentukan kerajaan baharu.

Malangnya dalam senarai yang disediakan itu membabitkan GPS dan GRS, sedangkan dua parti blok Borneo itu telah membuat ketetapan muktamad semasa pemilihan PMX bahawa sokongan yang diberikan sehingga tamat penggal.

Dalam senario sekarang, memandangkan tiada kemungkinan GPS dan GRS mengubah sokongan, tiada kemungkinan kerajaan boleh hilang majoriti, dengan kata lain kerajaan akan kekal sehingga tamat penggal.

Jika demikian apa maksud mengubal undang-undang untuk melarang mengubah kerajaan? Jika undang-undang itu digunakan di masa depan, maka membawa pengertian selamanya wakil rakyat yang dipilih tiada kesetiaan pada parti yang diwakili, tidak amanah pada keputusan sendiri, melainkan sentiasa berubah mengikut masa dan keadaan. Ertinya, parti yang meletakan mereka itu sebagai calon tidak mengenali calon masing-masing.

Apapun bentuk undang-undang namanya juga melibatkan manusia yang berakal, ada sahaja cara menterjemahkan pilihan demokrasi mereka. Ambil iktbar pada undang-undang lompat parti apabila undang-undang menjadi sebahagian perlembagaan, pada masa ianya dilaksanakan difikirkan boleh menghalang mana-mana ahli membuat keputusan berlawanan dengan pendirian parti masing-masing, tetapi akhirnya kelompangan dimanfaatkan oleh mereka yang menggunapakai kebebasan bersuara.

Hakikatnya semakin kerapnya percakapan berkaitan mengubah kerajaan hari ini kerana kesan semasa pemilihan PMX selepas PRU15, kerana semua pihak maklum, PN bersama blok parti-parti Borneo dan 10 ahli parlimen Barisan Nasional yang sepatutnya membentuk kerajaan tidak menjadi kenyataan ekoran pusingan U 10 ahli parlimen BN.

Kerana pusingan U itu, maka GPS dan GRS membuat ketetapan mana-mana pemimpin yang boleh dipilih sebagai Perdana Menteri dengan sokongan dua blok parti itu, maka pemimpin itu lah yang disokong. Oleh kerana sokongan telah dibuat, maka ianya terus kekal.

Jika selepas itu timbul berbagai langkah mengubah kerajaan, maka tidak melibatkan dua parti blok Borneo itu, kecuali lah ada niat tertentu yang merekayasa langkah-langkah itu untuk memalitkan imej negatif pada parti blok Borneo tersebut atau barangkali mereka yang dibayangi perbuatan lampau, maka berpendapat pihak lain juga akan bertindak sama, maka pemimpin itu akan kehilangan kedudukan atau jawatan.

Penulis berpandangan berbagai langkah yang direkayasa mempunyai maksud tersembunyi untuk menyelamatkan diri kerana isu dalaman pada sesebuah parti yang menyokong kerajaan Perpaduan yang sukar diselesaikan.

Selain itu untuk memastikan mereka yang dikategorikan sebagai pemimpin bermasalah itu tidak diberi peluang lagi dipilih sebagai calon.

Mereka yang berpandangan demikian adalah pemimpin parti itu yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan atau syarikat-syarikat atau badan berkanun yang merupakan pasukan pucuk pimpinan.

Kerana pendekatan demikian maka dalam pemikiran mereka bahawa parti boleh mendapat sokongan, sedangkan secara umumnya rakyat atau sebahagian besar ahli parti sangat meluat dengan tindak tanduk mereka dan telahpun dibuktikan pada PRN2023 enam negeri dan PRK Kemaman.

Jelas menerusi kepimpinan yang ada sekarang, parti itu telah menjadi parti matahari terbenam dan hanya menunggu masa untuk direhatkan.

Sangat ketara apabila cadangan mengubal undang-undang melarang mengubah kerajaan diluar pilihan raya, para pemimpin parti yang bersetuju adalah para pemimpin yang ditolak rakyat selain mereka yang mempunyai kedudukan atau jawatan.

Pemimpin yang mencadang dan yang menyokong hanya berlegar-legar dalam parti yang sama, sedangkan jumlah parti yang menyokong kerajaan Perpaduan adalah 19 buah parti.

Apa yang menarik belum pun cadangan itu dipertimbangkan, Premier Sarawak berpandangan undang-undang seumpama itu menghalang kebebasan memilih seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Negara. Ertinya jika cadangan undang-undang itu dilaksanakan, maka butiran dalam Perlembangaan yang memelihara kebebasan perlu dimansuhkan dan digantikan dengan “paksaan”. Jika perkara ini berlaku, apa kah Malaysia masih diiktiraf sebagai negara demokrasi? Tepuk dada tanya selera.

Mana-mana pemimpin cintakan demokrasi dan menghormati kebebasan memilih perlu menolak cadangan itu kerana ianya lebih banyak membawa kemudaratan berbanding kebaikan. Praktik mengubah kerajaan bukan lah perkara baharu dalam amalan demokrasi, kerana negara-negara seperti United Kingdom, Jepun kerap juga mengubah kerajaan atau Perdana Menteri dalam pertengahan penggal.

Mengubah kerajaan mesti bersebab, antaranya jika kerajaan dilihat memudaratkan negara dan rakyat, yang ditandai dengan kemusnahan ekonomi, ketidak mampuan mengurus negara.

Mengubah kerajaan bukan atas sebab ingin meletakan sekumpulan pemimpin menjadi menteri atau seseorang menjadi Perdana Menteri, akan tetapi perubahan itu diperlukan untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

Jika ada undang-undang menghalang perubahan kerajaan, apabila didapati kerajaan yang dibentuk memudaratkan negara dan rakyat, maka akan memberi kesan pada rakyat dan negara selama sepenggal, itu pun jika tidak digubal undang-undang baharu untuk prorog kerajaan untuk tempoh yang tidak dinyatakan.

Jangan sesekali termakan umpan pemimpin dalam keadaan terdesak, kerana akan bergayut termasuk pada ranting rapuh.

Negara ini mempunyai masa depan apabila terbentuknya kekuatan baharu politik yang membabitkan PH, GPS dan GRS. Lupakan nostalgia lampau, mari menuju masa depan yang lebih baik, pinjam kata-kata Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, yang hanya inginkan kestabilan dan kukuhnya kerajaan Persekutuan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News