Home » Sarawak pilihan utama penganjuran acara besar beberapa tahun akan datang – Abdul Karim
Berita Am Berita Dalam Negara

Sarawak pilihan utama penganjuran acara besar beberapa tahun akan datang – Abdul Karim

Sarawak akan menjadi lokasi pilihan utama bagi penganjuran acara besar dalam beberapa tahun akan datang. – Foto fail

KUCHING: Sarawak akan menjadi lokasi pilihan utama bagi penganjuran acara besar dalam beberapa tahun akan datang, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata ia berdasarkan kepada pencapaian dan usaha dilaksanakan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Business Events Sarawak (BESarawak) dengan membawa pelbagai acara penting untuk dianjurkan di negeri itu.

“Kedua-dua mereka telah melakukan tugas yang amat baik, mereka telah mendapatkan penganjuran banyak persidangan untuk beberapa tahun akan datang.

“Contohnya, untuk tahun sebelumnya, kita telah berjaya mendapatkan penganjuran Persidangan Air Dunia yang melibatkan 80 negara dengan 10,000 delegasi,” katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.

Abdul Karim berkata dengan kecekapan Sarawak dalam menganjurkan acara besar, kerajaan negeri akan membina pusat konvensyen lagi bagi menampung keperluan.

“Tahun ini, kita akan mulakan kerja pembinaan pusat itu bersebelahan dengan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

“Pusat konvensyen baharu itu dapat menampung keselurhan 5,000 delegasi, jadi keseluruhannya 15,000 delegasi. Ini kecekapan dan keyakinan yang kita ada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Shukor berkata terdapat kelainan pada penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ini adalah generasi milenium, generasi baharu memahami apa itu pemeliharaan dan konservasi.

“Ada kelainan, saya tidak mahu dedahkan dahulu kerana menteri akan umumkan ketika pelancarannya nanti. Tunggu hari itu…ada yang menarik,” katanya.

Festival Muzik Hutan Sedunia adalah festival muzik tiga hari yang diadakan setiap tahun untuk memperingati kepelbagaian muzik dunia, dengan aktiviti seperti bengkel muzik yang diadakan pada siang hari, pameran kebudayaan, pameran kraftangan, gerai makanan, dan konsert pada sebelah malam di pentas utama di Kampung Budaya Sarawak. — BERNAMA

AWANI