Home » 20 keluarga terima kunci Rumah Mesra SMJ di Tulid
Berita Tempatan Politik

20 keluarga terima kunci Rumah Mesra SMJ di Tulid

PENYERAHAN: Flovia menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada salah seorang penerima pada majlis itu.

KENINGAU: Seramai 20 keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid di sini menerima kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk Flovia Ng menyempurnakan majlis simbolik penyerahan kunci rumah berkenaan di kawasan DUN Tulid bertempat di Dewan Belia dan Sukan Keningau pada hari Rabu.

Penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ di kawasan Tulid membabitkan 20 keluarga dari keseluruhan mukim di DUN Tulid menerima Rumah Mesra SMJ dengan setiap mukim menerima 5 unit.

Flovia berkata penerima kunci pada hari tersebut adalah dari senarai pemohon pada tahun 2022 .

Beliau sedar ada lagi ramai pemohon yang berkelayakan tetapi pihaknya tidak dapat menunaikan permohonan mereka pada masa ini.

‘Saya sedar masih ramai pemohon yang berkelayakan belum dapat ditunaikan memandangkan peruntukan setahun hanya 20 buah sahaja.

‘Senarai pemohon-pemohon yang tidak berjaya kali ini akan dikaji semula untuk peruntukan kemudian. Maka wajarlah sokongan untuk Kerajaan ini diteruskan agar usaha murni Kerajaan GRS tidak terganggu.’ katanya.

Beliau turut berharap agar penerima kunci Rumah Mesra SMJ menghargai usaha murni kerajaan untuk membantu mereka dengan tidak menyalahgunakan kemudahan ini. 

ADUN Tulid juga mengingatkan kepada para penerima agar menghayati dan menghargai sumbangan kerajaan negeri dengan tidak menyewakannya kepada orang lain.

Katanya, pemilik rumah yang bertindak sedemikian dan tidak menghuni rumah itu sememangnya menghampakan harapan kerajaan negeri.

Rumah Mesra SMJ merupakan inisiatif Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan pada 28 September 2022 di Kuala Penyu.

Inisiatif kerajaan ini adalah untuk mengeluarkan golongan kategori miskin dan miskin tegar daripada kepompong kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.

PENYERAHAN: Flovia merakamkan kenangan bergambar bersama penerima kunci Rumah Mesra SMJ pada majlis itu.

— TAMAT