Home » Penerima PPR berterima kasih kepada Kerajaan GRS
Berita Tempatan Politik

Penerima PPR berterima kasih kepada Kerajaan GRS

TERIMA KASIH: Foo bersama Ronnie (kanan) mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan GRS kerana membantu menyelesaikan masalah rakyat.

KOTA KINABALU: Penerima Program Perumahan Rakyat (PPR) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana prihatin dengan golongan memerlukan.

Penerima Foo Yen Ling@Julie Foo berkata, penerimaan itu merupakan satu hadiah terbaik menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2024.

Foo yang berusia 53 tahun adalah ibu tunggal dengan dua anak. Dia telah memohon PPR sejak 20 tahun lalu.

Permohonan itu berjaya apabila Majlis Daerah Penampang telah meluluskan permohonan itu di PPR Kibabaig Penampang.

Pada 25 Januari depan, setelah membayar segala hal berkaitan, Foo boleh secara rasmi menerima kunci dan berpindah ke PPR berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Ronnie Loh yang membantu saya mencapai impian ini.

“Sudah 20 tahun saya memohon, baru kali ini permohonan saya diluluskan, terima kasih kepada Kerajaan GRS,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ronnie dalam pada itu berkata, sewa bulanan PPR kepada Foo adalah RM160 sahaja, jumlah itu sangat berpatutan dan mampu mengurangkan beban seorang ibu tunggal.

“Pada ketika ini, Foo dan dua anak perempuannya tinggal dalam sebuah rumah yang sempit dengan kadar sewa RM500 sebulan, impian 20 tahun ini sudah tercapai sudah pasti akan memberikan sinar harapan kepada keluarga ini.

“Tahun lalu, dia mengalami strok ringan dan bertemu dengan saya untuk meminta bantuan untuk mempercepatkan proses permohonan.

“Kami berdua bersama-sama berusaha dan bertemu dengan pegawai berkaitan untuk mempertimbangkan permohonan itu.

“Jawapan yang kami terima adalah untuk menunggu maklum balas selepas mesyuarat, selepas itu kami menerima berita baik bahawa permohonan itu diluluskan,” katanya.

Ronnie turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Penampang dan kerajaan GRS kerana membantu mencapai impian ibu tunggal itu.

–Yap Siong Han