Home » Harapan Rakyat tidak berhasrat jadi pesaing parti politik di Sabah
Berita Tempatan Politik

Harapan Rakyat tidak berhasrat jadi pesaing parti politik di Sabah

Liew berkata, pihaknya juga sentiasa mendukung hasrat pimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyampaikan setiap setia hala tuju kerajaan negeri kepada rakyat.

KALABAKAN: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) tidak berhasrat untuk menjadi pesaing dan mengacau mana-mana parti sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang ketika ini.

Presidennya, Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, pihaknya giat melaksanakan gerakan masuk kampung hanya untuk memberi khidmat kepada rakyat dan menjelaskan hala tuju parti kepada ahli baharu.

Katanya, Harapan Rakyat tiada niat mahu bersaing atau menjadi pengacau dengan masuk ke kawasan yang memiliki wakil rakyat untuk meraih undi.

“Kita ahli politik sebenarnya hala tuju adalah untuk menolong rakyat, mana ada untuk mengacau, kalau wakil rakyat itu tidak mahu dikacau dia perlu kerja (untuk rakyat).

“Kalau dia kerja tidak ada parti yang boleh masuk dan tidak ada parti yang boleh menentang sekiranya visi mereka jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Harapan Rakyat Bersama Penduduk Gugusan Umas Sebatik di Jeti Felda Umas, semalam. Turut hadir Naib Presiden Harapan Rakyat Datuk Supardiansyah Suyuti.

Menurutnya, Harapan Rakyat sentiasa merancang untuk menggerakkan jentera turun padang setiap masa dengan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada penduduk.

Liew berkata, pihaknya kini hanya sekadar turun padang untuk membantu rakyat dan banyak memfokuskan meningkatkan ekonomi penduduk terutamanya golongan belia di kawasan pedalaman.

“Kalau mahu lawan dan cabar atau sebaliknya, tunggulah semasa pilihan raya, tunggu waktu mengundi yang akan menentukan.

“Tetapi sekarang Harapan Rakyat tidak ada agenda atau tiada niat mahu lawan mana-mana parti, kami cuma mahu rakyat terbela,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa mendukung hasrat pimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyampaikan setiap setia hala tuju kerajaan negeri kepada rakyat.

“Kita mahu beri sokongan kepada semua komponen parti GRS supaya terus diterima rakyat dan boleh menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Liew berkata, pihaknya sentiasa berkolaboratif bersama agensi kerajaan ketika turun padang agar rakyat mempunyai akses langsung kepada segala jenis bantuan atau subsidi yang diumum kerajaan pusat dan negeri.

“Pegangan Harapan Rakyat adalah bekerjasama, satu hati, maka itu kami sentiasa turun bersama pegawai-pegawai kerajaan supaya rakyat tidak ketinggalan mendapat bantuan dan subsidi yang disediakan,” katanya.

Pada majlis itu seramai 200 belia Felda Umas masing-masing menyerahkan borang keahlian menyertai Harapan Rakyat.

–Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment