Home » Kerajaan negeri komited bantu isu pendidikan di Sabah – Nizam
Berita Tempatan Politik

Kerajaan negeri komited bantu isu pendidikan di Sabah – Nizam

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata kerajaan negeri prihatin dan mengambil serius perkara ini kerana tidak mahu hal ehwal pembangunan pendidikan terbantut disebabkan isu pemilikan tanah.

TAWAU: Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai isu keperluan menambah kelas dan guru untuk pendidikan peringkat Prasekolah di daerah ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya menerima semua input daripada peringkat akar umbi termasuklah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau.

Katanya, isu kekurangan kelas dan guru peringkat Prasekolah sememangnya menjadi topik hangat dalam kalangan ibu bapa di daerah ini.

“Sebenarnya sektor pendidikan dibawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, malah semua keputusan sama ada untuk menambah bilang kelas atau guru tertakluk di peringkat kementerian pusat.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan cuba memanjangkan isu ini ke peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya tindakan awal dan segera dapat diambil,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Makan Malam Prasekolah Daerah Tawau, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, tugas seorang guru sangat mencabar, sebab itu keperluan untuk mencukupkan bilangan guru sangat penting bagi memastikan sesi pembelajaran berada dalam keadaan yang baik.

“Justeru, mana-mana sekolah yang memerlukan penambahan warga pendidik, kita akan pastikan KPM dapat mengatasi masalah itu terutamanya peringkat Prasekolah,” katanya.

Sementara itu, Nizam turut mengulas mengenai sekolah-sekolah yang mempunyai masalah isu pemilikan tanah ketika ini.

Katanya, kerajaan negeri prihatin dan mengambil serius perkara ini kerana tidak mahu hal ehwal pembangunan pendidikan terbantut disebabkan isu pemilikan tanah.

“Saya sudah meminta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah khususnya di PPD Tawau supaya memberikan maklumat mengenai perkara ini untuk dibawa ke peringkat atas.

“Isu ini perlu diselesaikan dengan segera supaya mudah untuk melaksanakan pembangunan yang diperlukan di sekolah yang terlibat,” katanya.

Mengulas mengenai majlis ini, katanya, ia adalah satu anjuran yang sangat bermanfaat untuk mengeratkan silaturahim antara semua warga pendidik di daerah ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh PPD Tawau dan semua warga pendidik di daerah ini pada tahun lalu.

“Kita berharap kecemerlangan pencapaian itu dapat dikekalkan dan ditingkatkan oleh Pegawai Pendidikan Daerah yang baharu iaitu Matnoor Sima tahun ini,” katanya.

— Hamzah Sanudin