Home » Surat rasmi tuntutan 40 Peratus hasil Sabah sudah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan – Masidi
Berita Tempatan Politik

Surat rasmi tuntutan 40 Peratus hasil Sabah sudah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan – Masidi

Menteri kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun bersalaman dengan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Makan Malam Sempena Lawatan Rasmi Kerajaan Negeri Selangor Bersama Kerajaan Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), pada malam Selasa.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, surat tersebut sudah pun diserahkan pada 10 Jun 2022.

KOTA KINABALU: Menteri kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memaklumkan Kerajaan Sabah sudahpun mengemukakan surat tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan berhubung isu pengembalian semula 40 peratus hasil bersih Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 10 Jun 2022. 

Justeru itu katanya, apa yang diperlukan sekarang adalah usaha untuk mendapatkan data dan statistik daripada Kerajaan Persekutuan agar pihak penuntut, iaitu Sabah dapat menentukan jumlah 40 peratus yang sepatutnya diterima.

“Di sini kita tiada isu mekansime, isu sebenar adalah bila nak dibayar dan bila mereka benar-benar mahu bayar, mereka akan beri kita data dan statistik yang kita minta supaya kita boleh kira jumlah yang kita tuntut.

“Kita perlu itu untuk membolehkan jumlah bayaran yang sepatutnya diberikan kepada negeri Sabah, dan prosesnya mungkin ada sedikit lambat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ahli Majlis Tindakan Pelaksana Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), Datuk Ewon Benedick yang mendakwa bahawa surat rasmi tuntutan tersebut belum dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Masidi berkata, proses tuntutan itu dijangka akan selesai pada Julai tahun ini.

“Kita andaikan Julai tahun ini memang perkara ini selesai sebab kita anggap kita adalah dua pihak yang memang bekerjasama bahkan kerajaan negeri masih menyokong kerajaan Persekutuan.

“Jadi tidak wajar pelaksanaan ini ditunda kerana kita semua berharap agar perkara ini selesai mengikut tempoh yang ditetapkan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Makan Malam sempena Lawatan Rasmi Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) di sini, pada Selasa.

TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment