Netanyahu mengalu-alukan keputusan Mahkamah Dunia itu tidak mengarahkan gencatan senjata dan menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai. – Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes genosid Israel disambut baik pelbagai pihak, namun pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meluahkan kekecewaan tiada arahan gencatan senjata dikeluarkan.
Prof Madya Salawati Mat Basir berkata Israel tidak akan menghentikan serangan ke atas Gaza walaupun perintah yang dikeluarkan oleh ICJ mengikat secara sah (legally binding).
Ini dapat dilihat daripada kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Jumaat yang mengalu-alukan keputusan Mahkamah Dunia itu tidak mengarahkan gencatan senjata dan menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai.
“Ya benar, ICJ mengakui dakwaan Afrika Selatan bahawa berlaku genosid di Gaza, tetapi saya tetap merasakan jika tiada gencatan senjata, semua ketetapan ICJ tidak dapat dilaksanakan.
“Ketetapan ICJ itu hanyalah perkara yang perlu dilaksanakan oleh Israel jika mereka mempunyai maruah. ICJ tiada unit penguatkuasaan (enforcement) untuk mengambil tindakan, tetapi lebih kepada kepercayaan bahawa Israel akan patuh kepada keputusan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.
Mengulas lanjut, katanya Hamas adalah non-state actor (bukan mewakili negara) yang bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Dunia itu dan Israel boleh menggunakan perkara itu untuk tidak melaksanakan perintah ICJ dengan alasan untuk mempertahankan diri selain mendakwa Hamas berada dalam kalangan orang awam.
Pada 29 Dis, Afrika Selatan mengemukakan tuntutan di ICJ, memohon perintah larangan terhadap Israel dengan alasan serangan negara itu ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.
Dalam keputusannya pada Jumaat, ICJ mengarahkan Israel melaksanakan enam langkah sementara, termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza, memastikan tenteranya tidak lagi melakukan sebarang tindakan genosid serta mencegah dan menghukum sebarang hasutan ke arah genosid.
Israel juga diarah membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, menghalang pemusnahan dan memastikan pemeliharaan bukti yang berkaitan dengan dakwaan genosid dan mengemukakan laporan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambil dalam melaksanakan perintah berkenaan dalam tempoh sebulan.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, pada Jumaat memuji ICJ kerana pada dasarnya mengesahkan bahawa kes yang dibawa negaranya terhadap Israel mempunyai merit, namun turutkecewa kerana ICJ tidak mengarahkan gencatan segera.
Namun, katanya, Mahkamah Dunia itu memerintahkan Israel untuk mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan lebih banyak kematian di Gaza dan membenarkan akses kemanusiaan.
Mengulas lanjut, Salawati berkata usul sekatan ekonomi ke atas Israel boleh dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) jika tidak melaksanakan perintah ICJ, namun beliau ragu-ragu Amerika Syarikat (AS) tidak akan menggunakan kuasa veto sekali lagi.
Pada 8 Dis lepas, Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menolak resolusi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza yang disokong oleh hampir semua anggota Majlis Keselamatan lain dan berpuluh-puluh negara anggota PBB.
Menyifatkan genosid di Gaza sebagai detik paling malang dalam sejarah kemanusiaan abad ke-21, pensyarah undang-undang itu berkata terdapat unsur hasutan yang jelas daripada pemimpin-pemimpin Israel yang ingin mengosongkan Gaza.
Unsur genosid juga dapat dilihat daripada serangan bertubi-tubi yang bermula di bahagian utara Gaza yang kemudiannya diluaskan ke bahagian tengah sehingga ke Rafah di selatan, katanya. — BERNAMA
— AWANI
Add Comment