Home » Jauhi pendekatan seperti enau melepaskan pucuk masing-masing
Politik Sudut Pandangan

Jauhi pendekatan seperti enau melepaskan pucuk masing-masing

Peribahasa “seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” digunakan untuk menggambarkan seseorang yang egois dan hanya memikirkan kepentingan diri sendiri. Orang yang seperti enau dalam belukar ini hanya memikirkan dirinya sendiri dan tidak peduli dengan orang lain. (Gambar Hiasan)

KADANG-KADANG tidak dapat dinafikan maksud lain lubuk lain ikannya, dan ianya tidak terkecuali dalam pendekatan politik.

Dalam gabungan berbagai parti misalnya, hubungan antara Parti A dan B di kawasan tertentu baik-baik saja, akan tetapi di kawasan lain “berlawanan” kerana apa? Kerana berebut pada kolam yang sama. Kerana berebut, maka terlupa, bahawa keutamaan sebenar adalah pemuafakatan dalam gabungan bukannya merujuk pada sesebuah parti.

Matlamat/tujuan/visi dalam gabungan berbagai parti adalah untuk mengumpul kekuatan, kekuatan daripada segi jumlah penyokong atau undi yang boleh mempermudah kemenangan dalam pilihan raya. Jika parti-parti dalam gabungan bertindak seperti enau dalam belukar melepas pucuk masing-masing, gabungan tidak membawa erti apa-apa, kerana tidak membuahkan apa yang diharapkan iaitu kekuatan daripada segi jumlah atau nombor.

Sepatutnya parti-parti yang bergabung saling melengkapi antara satu sama lain, tiada unsur persaingan, termasuk keahlian, kerana semua parti perlu melihat, keahlian semua parti yang bergabung juga menggambarkan keahlian parti gabungan.

Jika berlaku persaingan antara parti-parti dalam gabungan, maka dibimbangi berlaku, sokong membawa rebah, atas sebab, daripada awal-awal lagi terdapatnya unsur bersaing, sedangkan matlamat bergabung adalah untuk mengelak bersaing sebaliknya bersekutu, bersatu, dalam suasana berdiri sama tinggi duduk sama rendah.

Dalam parti-parti yang bergabung sepatutnya tugas utama masing-masing parti adalah kemampuan mempengaruhi ahli-ahli parti daripada luar gabungan untuk yakin perjuangan parti gabungan atau parti komponen untuk bersama-sama berjuang, sebagai upaya memperbanyak ahli dan penyokong, dan seterusnya menjadi jumlah yang mencukupi untuk menang dalam pilihan raya.

Masing-masing parti perlu menerima hakikat, jumlah keahlian di atas kertas jika tidak dapat diterjemahkan menerusi undi mewakili gabungan, tidak membawa apa-apa makna.

Bukan keadaan luarbiasa, setiap parti dalam gabungan mempunyai jumlah keahlian di sesebuah kawasan pilihan raya lebih daripada separuh sebagai pengundi berdaftar, akan tetapi dalam pilihan raya pengundi yang mengundi calon gabungan sama sekali tidak menggambarkan jumlah keahlian, mengapa? kerana hanya satu sebab, setiap parti menggunapakai pendekatan seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Pendekatan dalam mana-mana parti gabungan, perlu membuang jauh-jauh, perbuatan menang sorak kampung tergadai, yang dicerminkan menerusi jawatan-jawatan politik di kawasan masing-masing, sebaliknya, mana-mana pemimpin di peringkat akar umbi yang diberi tanggungjawab, perlu bertindak merangkumi semua pihak tiada yang terkecuali.

Dalam parti gabungan sepatutnya tidak timbul perebutan keahlian, walaupun tidak dapat mengelak perpindahan keahlian kerana berbagai faktor, misalnya lokaliti, kekeluargaan, kawan sepermainan, atau faktor-faktor lain. Jika berlaku keadaan ini, maka perlu pendekatan menang-menang menerusi penjelasan/pencerahan agar tidak merumitkan keadaan. Fikir-Fikirkan.

*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Sabah Baru News

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment