Home » Harapan baharu ekonomi biru di tahun baharu naga
Politik Sudut Pandangan

Harapan baharu ekonomi biru di tahun baharu naga

IMBAS KEMBALI: Hajiji (kiri) berbincang dengan John ketika kunjungan Ketua Menteri ke Hong Kong pada November tahun lalu.

ISNIN malam 22 Januari 2024, saya tiba 40 minit awal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi menghadiri majlis resepsi tahun baharu anjuran Konsulat China di Kota Kinabalu.

Kesempatan itu membolehkan saya berinteraksi dengan beberapa pegawai tinggi Konsulat China dan sejumlah tokoh perniagaan Cina terkemuka di Sabah.

Rata-rata mereka bersemangat menempuhi Tahun Naga, haiwan yang paling dihormati dalam budaya Cina. Banyak mitos menarik mengenai naga. Dikatakan, orang zodiak ini menyebut diri mereka keturunan naga.

Baginya, sambutan tahun baharu bukan sekadar mengucapkan sayonara kepada masa lalu, tetapi untuk merintis citra perjalanan masa depan.

Beliau mengaitkannya dengan hubungan China-Malaysia, khususnya China-Sabah, sambil menyifatkan konsep Malaysia Madani dan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) menciptakan kemajuan yang signifikan.

Beliau mengambil contoh projek pelaburan terbesar China di Sabah, Kibing Silica Sand Production Base and Photovoltaic New Material Manufacturing, yang membawa impak besar bagi Sabah dan China.

Tahun 2024 merupakan ulangtahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia terjalin.

Bagi Sabah, hubungan dan kerjasama dengan China yang sudah pun membuahkan hasil perlu terus diperkasakan lagi. Negara itu merupakan antara rakan perdagangan penting yang mesti diberi tumpuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam ucapannya pada malam itu mengakui kerajaan negeri sangat menghargai kerjasama kukuh di antara Sabah dengan China.

Beliau turut mengimbau lawatannya ke China pada November tahun lepas, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Global (GCET) di Shenzhen dan kemudian melawat Hong Kong.

Hajiji optimis Sabah akan menjana hasil positif daripada misi perdagangan itu yang memberinya kesempatan bertemu dengan pelabur, sekalli gus menjemput mereka meneroka peluang di Sabah.

Hakikatnya, Sabah dan China sememangnya sudah mempunyai kerjasama, hubungan terjalin lama serta momentum yang kuat dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, perdagangan dan kebudayaan.

Pertemuan Hajiji dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, John Lee Ka-Chiu sempena misi perdagangan ke China tiga bulan lalu, dijangka menjadi pemicu hubungan ekonomi yang lebih signifikan pada masa terdekat ini.

Ini kerana pertemuan Hajiji-John itu membuka laluan untuk hubungan perdagangan dua hala kedua-dua pihak.

Dalam pertemuan itu, John menyatakan kesediaan untuk mengadakan hubungan komunikasi secara langsung antara Hong Kong dan Sabah, bagi membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama perdagangan dan bidang berkaitan.

Antara bidang dipertimbangkan kepada Sabah ialah kerjasama berkonsepkan ‘Blue and Green’ memandangkan Hong Kong berada di kedudukan teratas menerusi Hong Kong Investment Corporation Limited untuk membiayai projek pembangunan.

Menariknya, John turut mengalu-alukan Sabah mengadakan pameran perdagangan di Hong Kong untuk mempromosi produk dan kepentingan perniagaan Sabah.

Pasca kunjungan ke China, Hajiji menegaskan komitmen kerajaan negeri menerokai Ekonomi Biru dengan kerjasama pelabur asing yang berkepakaran dalam bidang berkenaan.

Matlamatnya untuk pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat selaras dengan Belanjawan 2024.

Ia sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebagai salah satu pendekatan bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

Ekonomi biru berpotensi besar dalam pelbagai bidang termasuklah perikanan dan akuakultur, perkapalan dan pengangkutan (logistik), pelancongan serta tenaga boleh diperbaharui.

Memasuki tahun naga, ekonomi biru yang merupakan antara gagasan besar kerajaan pimpinan Hajiji diharap menjadi harapan baharu pada tahun baharu 2024 ini.

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment