Home » Kerajaan Sabah sedia RM170 juta peruntukan untuk kebajikan tahun ini
Berita Tempatan Politik

Kerajaan Sabah sedia RM170 juta peruntukan untuk kebajikan tahun ini

Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah dan Isteri Datin Hajah Wahida Mardiana Norsalim menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Anjuran Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah(PJKHRS) di Rumah Warga Tua Jalan Air Panas Tawau .

TAWAU: Kerajaan Sabah menyediakan RM148.82 juta dana perbekalan serta RM21.04 juta dana pembangunan bagi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada tahun ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata dana berkenaan adalah khusus untuk memberi perhatian kepada usaha menaik taraf pelbagai infrastuktur kebajikan dan aspek bantuan kebajikan.

“Hal ini antaranya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan yang wajar diberi perhatian termasuk golongan warga emas yang menghuni rumah warga tua di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Sambutan Majlis Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah (PJKHRS) bagi meraikan 40 penghuni Rumah Warga Tua di Jalan Air Panas di sini hari ini.

Sementara itu, Nizam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas turut mahu lebih banyak usaha daripada badan bukan kerajaan menyantuni golongan yang memerlukan bantuan.

“Kita menyokong inisiatif PJKHRS ini yang dapat mendidik golongan belia lebih mengormati dan tampil meraikan golongan warga emas di sini untuk menggembirakan mereka,” katanya lagi. 

BERNAMA