Home » Program pelancongan sukan akan terus disokong: Jonathan
Berita Tempatan Politik

Program pelancongan sukan akan terus disokong: Jonathan

PENGHARGAAN: Jonathan (tengah) menerima cenderamata yang disampaikan Kamlee pada majlis itu.

RANAU: Pejabat Parlimen Ranau akan terus menyokong sebarang penganjuran program yang melibatkan aktiviti pelancongan sukan di daerah ini.

Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin berkata, pihaknya akan terus menyokong aktiviti seumpamanya agar terus berkembang maju sekali gus membawa kesan positif kepada penduduk daerah ini.

“Syabas kepada para peserta yang datang dari seluruh Sabah. Lokasi Nalumad Eko Tourism ini suatu tempat rekreasi yang sangat menarik.

“Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur yang diketuai oleh Pengerusi Penganjur, Kamlee Kairin bersama pasukannya kerana berjaya menganjurkan program yang baik, khususnya kepada penggiat aktiviti seumpama ini,” katanya ketika merasmikan Pertandingan RFC Ranau Open 4X4 RC Challenge pada Sabtu di sini.

Jonathan berkata, sekurang-kurangnya 28 pasukan dari seluruh Sabah telah mendaftarkan diri untuk bertanding dalam acara itu.

Katanya, jumlah penyertaan yang menggalakkan itu menunjukkan bahawa acara berkenaan semakin mendapat tempat dihati para penggiatnya.

Beliau mengalu-alukan semua peserta yang hadir pada kali ini, di mana, selain berpuas hati dengan lokasi pertandingan, mereka juga dapat menikmati keindahan alam sekitar.

“Nalumad Eko Tourism sangat berpotensi untuk dijadikan daya tarikan pelancong di daerah ini.

“Ambilah peluang ini untuk melihat dan menikmati sendiri keindahan alam di negeri kita, khususnya Ranau,” katanya.

Sementara itu Kamlee berkata, penyertaan dalam acara kali ini melibatkan peserta-peserta dari Ranau, Labuan, Lawas, Kinabatangan, Beaufort, Keningau, Tuaran, Kota Kinabalu, Telupid, Tambunan dan lain-lain.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Jonathan kerana sudi merasmikan pertandingan pada kali ini, tidak dilupakan juga kepada pengurus lokasi serta semua peserta yang bertanding kali ini,” katanya.

— Yap Siong Han