Home » Tingkat tahap keselamatan kawasan bandaraya
Berita Tempatan Politik

Tingkat tahap keselamatan kawasan bandaraya

Sim Fui berkata, walaupun pihak polis berjaya menangkap penjenayah berkenaan tetapi ia tidak bermaksud tiada lagi kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan awam.

KOTA KINABALU: Tahap keselamatan di kawasan bandaraya ini perlu dipertingkatkan agar pelancong tidak bimbang untuk datang ke sini.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sim Fui kesal dengan kejadian samun di sini baru-baru ini hingga menyebabkan seorang wanita cedera parah.

Katanya, Bandaraya Kota Kinabalu adalah destinasi yang wajib dilawati semua pelancong dalam dan luar negara dan lokasi ini sepatutnya selamat untuk dilawati.
 
“Agak mengecewakan kejadian samun berlaku dalam bandaraya ini pada siang hari sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, bulan lalu seorang pelancong China turut disamun oleh penjenayah ketika berjalan ke hotel di Jalan Gaya pada waktu malam.

Sim Fui berkata, walaupun pihak polis berjaya menangkap penjenayah berkenaan tetapi ia tidak bermaksud tiada lagi kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan awam.

“Masih ada ruang yang luas untuk diperbaiki dan orang ramai juga perlu sentiasa peka serta berhati-hati untuk berjalan di kawasan tertentu.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana berjaya menangkap penjenayah yang menyamun pelancong China itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kejadian rompakan seperti itu boleh menjejaskan imej bandaraya ini kerana ia mampu tersebar secara pantas melalui media sosial.

Sehubungan itu katanya, rondaan pihak polis perlu dipertingkatkan di kawasan tertentu dan mengadakan kerjasama dengan pihak berkaitan demi kebaikan bersama.

“Ini penting bagi menjamin keselamatan rakyat dan juga pelancong di sini,” katanya.

— Yap Siong Han